Rabu, 27 Januari 2010

ARTIKEL-ARTIKEL YANG TELAH DITERBITKAN

Blog ini tersedia bahan-bahan kajian yang telah diterbitkan untuk rujukan pengunjung blog ini. Semoga ia dapat membantu para pencinta bahasa Melayu bahawa bahasa Melayu bukanlah sekadar bahasa pinggiran sahaja malah merupakan bahasa yang agung dan mempunyai tamadun yang terunggul berbanding dengan bahasa-bahasa lain di Nusantara ini. Selamat memanfaatkan bahan-bahan yang tersedia. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

WARKAH RAJA-RAJA MELAYU


PROF.MADYA DR.AB.RAZAK AB.KARIM
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
UNIVERSITI MALAYA
KUALA LUMPUR
http://abrazak@um.edu.my
http://drz.jambul@gmail.com

Selama 481 tahun yang lalu, sepucuk surat yang ditulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Jawi telah dihantar oleh seorang raja di Kepulauan Melayu kepada seorang raja di benua Eropah. Bermula dari sinilah berlakunya komunikasi dwihala antara pemerintah dengan pemerintah, antara pembesar atau antara para pedagang. Walaupun jarak antara kedua buah negara amat jauh sekali tetapi komunikasi zaman lampau ini dapat berlaku walaupun pihak-pihak yang berhubung mempunyai bahasa, budaya, agama dan negara yang berbeza sama sekali. Begitulah besarnya peranan yang dimainkan oleh warkah-warkah zaman lampau yang dapat menghubungkan antara dua buah negara dan kerajaan. Walaupun jaraknya ribuan batu tetapi perhubungan menjadi rapat disebabkan peranan yang dimainkan oleh warkah-warkah Melayu zaman lampau.
Di alam Melayu, warkah telah menjadi alat perhubungan terpenting antara pemerintah tempatan dengan orang Barat seperti Portugis, Belanda, dan Inggeris. Di samping itu, warkah juga digunakan sebagai alat perhubungan antara pembesar tempatan dan juga pemerintah Kedah dan Kelantan dengan raja Siam. Warkah digunakan untuk pelbagai tujuan sama ada untuk tujuan peribadi, hal-hal perdagangan, ekonomi, politik seperti peperangan, penyerahan wilayah dan sebagainya.

1.0 Latar Belakang Warkah
Apabila diperkatakan warkah Melayu, sebenarnya ia terbahagi kepada dua jenis yang utama, iaitu warkah sosial dan warkah perjanjian. Kedua-dua warkah ini mempunyai kelainan yang jelas sama sekali walaupun ramai pengkaji kurang memberikan perhatian terhadap warkah perjanjian. Kebanyakan koleksi yang terdapat pada hari ini merupakan warkah sosial yang bertebaran di seluruh pelosok dunia.
Warkah sosial ialah warkah yang dihantar oleh seseorang pengirim kepada penerima. Pengirim ataupun penerima merupakan seorang raja, pembesar, ataupun orang tertentu. Warkah sosial dihantar dengan tujuan tertentu kerana kandungan warkahnya merupakan hal-hal yang bersangkutan tentang peribadi, untuk mendapatkan bantuan ataupun pertolongan, perniagaan ataupun sebagainya. Warkah jenis ini terdapat dalam pelbagai bentuk dan orang yang mengirimnya juga boleh dibahagikan kepada beberapa golongan.
Warkah perjanjian merupakan warkah persetujuan ataupun persetiaan bersama antara pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam perjanjian yang dibuat. Perjanjian boleh melibatkan individu dengan individu ataupun antara pihak-pihak tertentu dengan pihak yang lain. Secara umumnya, warkah perjanjian melibatkan persetiaan antara pihak sultan ataupun raja dengan pihak Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. Walau bagaimanapun, ada juga warkah perjanjian yang termeterai antara pembesar-pembesar dalam sesebuah negeri dengan raja yang memerintah.
Antara kedua-dua warkah ini terdapat banyak perbezaan dari segi ciri-ciri mahupun komponen-komponen yang membina kedua-dua warkah ini. (LIHAT LAMPIRAN )

2.0 Ciri-ciri Warkah
Ciri-ciri kajian yang dilakukan oleh para pengkaji ialah warkah sosial dan amat kurang sekali kajian terhadap warkah perjanjian. Keadaan ini berlaku kerana warkah sosial lebih bersifat umum dan tidak melibatkan banyak perkara rahsia atau lebih banyak soal peribadi dikemukakan kepada para penerima. Bagi warkah perjanjian, fasal-fasal atau perkara-perkara yang terkandung di dalam sesuatu perjanjian adalah rahsia yang hanya diketahui oleh golongan yang terlibat dalam perjanjian sahaja. Bagaimanapun, antara kedua-dua warkah dapat dilihat perbandingan secara umum.

3.0 Ciri-ciri Warkah Sosial
Iluminasi yang menarik: Kebanyakan warkah sosial terutama yang melibatkan raja atau pembesar sebagai pengirimnya akan dihiasi dengan pelbagai corak hiasan yang menarik. Hiasan yang digunakan melambangkan nilai seni yang indah dan keagungan serta kebesaran seseorang dalam masyarakat Melayu. Banyak contoh yang menunjukkan bahawa hiasan ataupun imunisasi yang digunakan terdapat dalam warkah-warkah daripada raja di negeri-negeri seperti Puntianak, Johor-Pahang, Madura, Aceh, Bali, Banjar, Bima, Palembang, dan Terengganu.
Walaupun tiada syarat yang ditetapkan tentang seni hias yang digunakan dalam sesepucuk warkah tetapi ia seolah-olah melambangkan status pengirim warkah. Seni hias yang digunakan dalam warkah ada yang terlalu “berat” atau berlebih-lebihan dan ada pula yang “ringan” atau terlalu mudah hiasan yang digunakan. Sesetengah warkah dihiasi dengan benang emas yang ditenun dalam pelbagai bentuk alam semula jadi seperti daun, bunga ataupun bentuk-bentuk tertentu yang dikehendaki oleh jurutulis. Warkah Sultan Iskandar Muda dari Aceh kepada Raja James I dari England yang bertarikh 1615, misalnya, merupakan warkah yang mempunyai hiasan yang paling besar dan terpanjang sekali. Warkah ini dianggarkan berukuran satu meter dan dihiasi dengan pokok madat dari atas warkah hingga ke akhir warkah. Warkah ini merupakan warkah Melayu pertama yang mempunyai hiasan yang paling indah dan menarik. (LIHAT LAMPIRAN 1 DAN 2)

Penggunaan Cap: Ketulenan sesepucuk warkah sosial dipengaruhi oleh penggunaan cap dalam warkah. Cap merupakan ikon bagi kesahihan warkah yang dihantar kepada penerima. Dengan hanya melihat cap yang tertera pada warkah, penerima mengetahui diri sebenar pengirim warkah. Dalam warkah sosial walaupun tidak semuanya menggunakan cap tetapi sekiranya dihantar oleh pemerintah ataupun oleh seseorang pembesar, penggunaan cap merupakan perkara yang pasti, kerana ia sebagai pengganti diri pengirim warkah.
Cap biasanya ditulis dengan huruf Arab atau bahasa Melayu dan bahasa Arab atau bahasa Melayu sahaja. Ia ditulis dengan huruf Jawi dan mengandungi nama peribadi yang empunya cap, gelaran yang digunakan, tarikh dalam tahun Islam, tempat dan juga ungkapan-ungkapan Islam. Cap yang digunakan berukiran timbul dengan tulisannya diukir dalam acuan cap yang dibuat oleh juru ukir yang mahir.
Dari segi bentuknya pula terdapat pelbagai jenis yang menarik dan melambangkan jati diri pengirim warkah. Dalam warkah-warkah Melayu cap yang terdapat dikatakan tidak terdapat di mana-mana kerana terdapat juga cap yang dihiasi dengan pelbagai unsur yang menarik. Kadangkala sesebuah cap itu dihiasi dengan bunga, bunga yang berkelompok ataupun daun-daun yang menjalar yang menambahkan seni hiasan pada cap-cap Melayu. Umumnya, cap yang digunakan berbentuk bulatan berpusat dan mempunyai bilangan kelompok tertentu seperti kelompok empat, lapan, dua belas dan enam belas. Kelopak-kelopak yang digunakan mempunyai motif tertentu yang hanya diketahui oleh pemilik cap tersebut sahaja. Bentuk-bentuk lain yang digunakan adalah seperti bentuk bujur; lapan segi atau bentuk-bentuk lain tetapi jenis ini kurang digunakan.
Dalam warkah-warkah Melayu, cap pertama kali digunakan oleh Sultan Alauddin Syah (1589-1604) dari Aceh kepada Harry Middleton pada tahun 1602 dan kemudiannya penggunaan cap dalam warkah telah diikuti oleh Kimalaha Salahak Abdul Kadir dari Ambon kepada Gabenor Syarikat Hindia Timur pada tahun 1658. (LIHAT LAMPIRAN 3)

Kepala Surat: Ciri utama yang sering diberikan perhatian terhadap warkah sosial ialah penggunaan kepala surat dalam warkah. Kepala surat berada di bahagian paling atas di tengah-tengah sesepucuk warkah. Dalam mana-mana warkah sosial, kepala surat memainkan peranan penting dalam warkah kerana ia melambangkan secara umum kandungan warkah yang dikirim kepada penerima. Dengan membaca kepala surat penerima warkah akan dapat mengagak kandungan warkah yang ditulis oleh pengirim.
Dalam warkah-warkah Melayu beberapa kepala surat menjadi pilihan pengirim dan kepala surat ini ditulis dalam bahasa Arab. Bagi jurutulis yang kreatif, kepala surat ini akan ditulis dalam pelbagai bentuk seperti bentuk kapal, bulatan, segi tiga dan sebagainya. Sesetengah kepala surat pula ditulis dengan pelbagai bentuk kaligrafi sama ada bentuk diwani, thuluth atau sebagainya yang dikatakan berasal dari India, Iran dan Turki. Kepala surat yang terdapat dalam warkah-warkah Melayu adalah seperti yang berikut:
Al-Fataah – Pembuka
Al-hamdulillah – Puji-pujian bagi Allah
Huwallah Ta’ala – Dialah Allah Ta’ala
Al-Mustahaq – Yang Penting
Qawl al-Haqq- Kata-kata Yang Benar
Qawluhu al-Haqq – Kata-katanya Yang Benar
Qult Hadha – Inilah Ucapan Saya
Al-Syam wa al-Qamar – Matahari dan Bulan
Ya-`Aziz – Hai Yang Mulia
Ya `Aziz al-Karim – Hai Yang Mulia dan Maha Pemurah
Ya `Aziz Ya Ghaffar – Hai Yang Maha Mulia lagi Mengampuni Ya Fattah al-Qulub – Hai Yang Membuka Segala Hati
Ya Ghaffar al-Rahim – Hai Yang Pemurah lagi Mengampun
Ya Qadi al-Hajat – Hai Yang Menimbangkan Maksud
Al-Wahid al-Karim – Yang Esa dan Yang Maha Pemurah
Nur Syam wa al-Qamar – Cahaya Matahari dan Bulan
Wa al Syam wa al-Qamar – Dengan Matahari dan Bulan
Wa al-Syam wa al-Nujum – Dengan Matahari dan Bulan dan Bintang
Wa al-Nujum wa al-Syam wa al-Qamar – Dengan Bintang dan Matahari dan Bulan
Al-Syam wa al-Qamar wa al-Nujum – Matahari dan Bulan dan Bintang-bintang
Qawluh al-Haqq wa kallamuh al-Sidq – Kata-katanya Benar dan Ucapannya Tulus
Al-Hamdulillahi Rabbil‘Alamin – Puji-pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam
Ya Nur al-Syam wa al-Qamar – Hai Cahaya Matahari dan Bulan (LIHAT LAMPIRAN 4)

Dalam sesetengah warkah, lebih daripada satu kepala surat digunakan. Bagaimanapun, warkah yang sebegini kurang terdapat. Warkah pertama yang menggunakan kepala surat telah diutus oleh Sultan Abu Hayat dari Ternate kepada Raja Portugal pada tahun 1521 dan baginda telah menggunakan kepala surat yang berbunyi Al-Fattah. Dalam warkah kedua setahun berikutnya baginda menggunakan dua kepala surat, iaitu Al-Hamdulillahi Rabbil`Alamin danYa’Aziz Ya Ghaffar. (LIHAT LAMPIRAN 5)

Penggunaan Puji-pujian : Kelaziman yang paling ketara dalam warkah sosial ialah kata-kata pujian yang keterlaluan digunakan oleh pengirim warkah untuk ditujukan kepada penerima. Kata-kata ini berada pada baris terawal ataupun permulaan sesepucuk warkah. Dalam bahagian ini dinyatakan nama, gelaran dan juga alamat pengirim yang menghantar warkah serta puji-pujian yang tinggi melangit terhadap penerima warkah. Dalam sesetengah warkah sosial kata puji-pujian yang digunakan keterlaluan dan membosankan. Bagaimanapun, sebagai suatu tradisi penulisan warkah zaman lampau, penggunaan kata-kata ini cukup dominan.
Kata puji-pujian yang digunakan oleh pengirim akan ditentukan oleh penerima warkah tersebut. Sekiranya status penerima lebih tinggi daripada pengirim maka kata puji-pujian yang digunakan lebih banyak berbanding dengan orang yang sama status dengan pengirim. Penggunaan kata-kata pujian dalam warkah melambangkan keagungan dan keunggulan tamadun istana kerajaan Melayu pada waktu itu kerana tradisi penggunaan kata puji-pujian bersumber daripada tatacara surat-menyurat Parsi pada waktu itu.
Sesetengah kata puji-pujian yang digunakan dalam warkah Melayu dihiasi dengan kata-kata kiasan yang bercampur-aduk dengan perumpamaan. Sering kali perumpamaan yang digunakan kurang tepat dan terdapat percampuran dengan bahasa Arab yang agak banyak. Dalam kata puji-pujian, perumpamaan yang berkaitan dengan matahari, bulan dan bintang menjadi lumrah bagi masyarakat pada waktu itu, terutama warkah daripada pembesar ataupun sultan. Kata-kata pujian juga digunakan oleh orang Barat yang mengutus warkah kepada pembesar atau sultan pada waktu itu.
Kata puji-pujian yang digunakan mempunyai kaitan dan pengertian yang tersendiri menurut pandangan masyarakat pada waktu itu. Dalam Kitab Tarasul ada dinyatakan bahawa seseorang raja itu diumpamakan sebagai matahari kerana mempunyai peranan untuk menerangi kehidupan rakyat di bawah jagaan baginda. Seorang raja juga boleh diumpamakan sebagai bulan dan bintang kerana berkilauan apabila dipandang orang dan memberikan kesejukan akan segala tumbuh-tumbuhan. Dalam warkah-warkah Melayu, terdapat sebahagian daripada warkah mempunyai kata puji-pujian yang keterlaluan terhadap penerima mahupun pengirim warkah. Contohnya, dalam Warkah Sultan Perkasa Alam Johan (Sultan Iskandar Muda) Aceh kepada King James I England pada tahun 1615, dari baris pertama hingga baris yang kedua puluh tiga mengandungi kata-kata pujian yang menceritakan hal-ehwal diri baginda. Hanya sepuluh baris terakhir warkah sahaja merupakan isi yang hendak disampaikan oleh baginda kepada Raja James I. Antara kutipan kata puji-pujian yang digunakan adalah seperti di bawah ini:
... raja yang beroleh martabat kerajaan yang dalam takhta kerajaan ,yang tiada terlibat oleh penglibatan, yang tiada terdengar oleh penengar; yang bermahligai gading, berukir, berkerawang, bersendi, bersindura, bewarna sadalinggam, yang berair emas, yang beristana sayojana menentang, yang bersungai berikat batu pelinggam, yang umpama cermin sudah terupam ... (LIHAT LAMPIRAN 6 & 7)

Penggunaan Kaligrafi: Kaligrafi ialah bentuk tulisan yang dicipta bagi menimbulkan kesan keindahan. Ia juga bertujuan untuk melahirkan rasa dihargai dan menggembirakan ataupun menyenangkan hari orang yang menatapnya. Tujuan kaligrafi digunakan oleh jurutulis warkah adalah untuk menghindarkan larangan agama Islam terhadap umatnya menggunakan figura manusia ataupun patung-patung dalam seni. Ini mengakibatkan para jurutulis mengalihkan perhatian pada kaligrafi untuk tujuan keindahan ataupun estetika. (LIHAT LAMPIRAN 8)
Ciri penting dalam warkah sosial kerana kebanyakan daripada warkah sosial menggunakan kaligrafi yang menarik dan pelbagai. Kaligrafi yang digunakan dalam warkah-warkah Melayu sebenarnya adalah kesinambungan perkembangann tulisan yang berlaku di Parsi dan di negara-negara Timur Tengah. Disebabkan hubungan yang erat dengan negara-negara ini, sistem tulisan ini telah berkembang dan diaplikasikan dalam warkah oleh jurutulis-jurutulis pada waktu itu. Bentuk tulisan Arab seperti nasakh, kufi, thuluth, rihan dan sebagainya digunakan dalam penulisan warkah.
Dalam warkah-warkah Melayu selain seluruh warkah ditulis dengan gaya kaligrafi yang dipilih, bahagian-bahagian tertentu warkah juga akan digunakan bentuk kaligrafi yang menarik. Bahagian tertentu yang dimaksudkan ialah bahagian kepala surat, kata puji-pujian, dan penutup warkah. Bagi sesetengah jurutulis, ketiga-tiga bahagian akan diberikan tumpuan utama dan menjadi lambang atau identiti warkah yang dihantar kepada penerimanya.
Pola dan bentuk serta seni dalam penulisan kaligrafi pada kepala surat banyak bergantung pada kemampuan serta kreativiti serta bakat yang ada pada seseorang jurutulis itu.
(LIHAT LAMPIRAN 9)
Kaligrafi yang terdapat pada bahagian kata puji-pujian hanya terdapat dibaris pertama sahaja manakala baris-baris yang berikutnya akan ditulis dengan huruf biasa. Dalam bahagian ini, gaya kaligrafi yang paling menonjol digunakan dalam warkah ialah jenis thuluth. Namun, terdapat juga gaya-gaya lain seperti rihan, diwani dan diwani jali, tetapi kurang sekali digunakan. Kaligrafai thuluth yang digunakan biasanya ditebalkan huruf-huruf yang digunakan dan huruf-huruf tersebut tergantung dalam dua atau tiga baris.
Bagaimanapun ada juga jurutulis yang hanya menulis satu baris sahaja. Huruf-huruf yang digunakan ini kemudiannya diletakkan tanda-tanda bacaan seperti fathah, kasrah, dhammah, sukun dan shaddah. Sesetengahnya pula ada ruang yang kosong antara huruf-huruf akan dihiasi dengan titik bunga halus bagi memenuhi ruang tersebut. Bagi jurutulis yang mahir, huruf-huruf yang memenuhi baris pertama bukan sahaja ditulis secara bertingkat tetapi disusun dalam bentuk kubah yang tajam di bahagian tengah dan separa kubah pada awal dan akhir baris. Kubah yang tajam puncaknya betul-betul di atas kepada surat. Di bawah ini diberikan beberapa contoh kata puji-pujian yang mempunyai ciri kaligrafi yang menarik. (LIHAT LAMPIRAN 10)
Kaligrafi dalam penutup warkah mengandungi maklumat tentang tarikh, tempat serta tahun warkah itu ditulis. Kaligrafi yang digunakan pada bahagian ini bergantung pada kaligrafi yang digunakan pada kepala surat dan kata puji-pujian dan tiada warkah menggabungkan pelbagai kaligrafi dalam satu warkah. Antara contoh kaligrafi dalam penutup dapat dilihat seperti di bawah ini. (LIHAT LAMPIRAN 11)

4.0 Ciri-ciri Warkah Perjanjian
Penglibatan Pihak-pihak Tertentu: Dalam warkah perjanjian, sekurang-kurangnya dua belah pihak terlibat dalam sesuatu perjanjian yang dibuat. Tanpa pihak yang satu lagi perjanjian tidak dapat dibuat secara bersendirian. Oleh yang demikian, dalam warkah-warkah perjanjian Melayu pihak yang terlibat dalam sesuatu perjanjian ialah antara pembesar dengan pembesar, sultan/raja dengan pembesar ataupun pihak raja dengan orang Barat seperti Inggeris ataupun Belanda.
Dalam warkah-warkah Melayu, perjanjian yang banyak terdapat adalah antara pemerintah di Indonesia dengan pihak Belanda manakala di Malaysia perjanjian banyak dibuat dengan pihak Inggeris. Disebabkan kedua-dua kuasa Barat ini mempunyai kepentingan yang berbeza-beza maka perjanjian yang dibuat juga berbeza-beza. Perbezaan yang berlaku adalah dari segi struktur perjanjian dan cara sesuatu perjanjian itu termeterai.
Dalam warkah perjanjian yang dibuat oleh para pemerintah di Indonesia dengan Belanda, terdapat beberapa pucuk warkah perjanjian dalam sesuatu perjanjian. Perjanjian utama adalah antara pemerintah dengan pihak Belanda kemudian raja pula akan membuat perjanjian dengan para pembesar serta ahli-ahli kerabat diraja. Oleh itu, dalam sesuatu perjanjian terdapat beberapa perjanjian lain yang turut dibuat oleh pemerintah.
Penggunaan Fasal/Perkara: Secara umum sesuatu warkah perjanjian akan ditandai oleh penggunaan kata ‘fasal’ ataupun ‘perkara’ dalam kandungan perjanjian. Kata-kata ini akan digunakan pada awal setiap perenggan, ayat atau di bahagian atas sesepucuk warkah perjanjian. Namun, dalam sesetengah kes, perjanjian yang dibuat tidak terdapat penggunaan kata-kata ini tetapi dikenali sebagai warkah perjanjian berdasarkan kandungan warkah tersebut.
Bilangan fasal/perkara dalam sesepucuk warkah perjanjian menunjukkan jumlah persetujuan bersama antara pihak yang terlibat. Dalam sesetengah warkah perjanjian terdapat 21 fasal dan sesetengahnya pula hanya 5 sahaja. Bilangan fasal ini ditentukan oleh kedua-dua pihak yang terlibat dan telah dipersetujui bersama.
Kedudukan dan Bilangan Cap: Warkah perjanjian jauh berbeza daripada warkah sosial berdasarkan bilangan cap serta kedudukan cap yang digunakan. Dalam warkah perjanjian sekurang-kurangnya dua cap digunakan. Kedudukan cap berbeza-beza berdasarkan tempat dan kedudukannya pada surat. Dalam kebanyakan warkah perjanjian terutama antara pemerintah di Indonesia dengan pihak Belanda, cap berada di bahagian akhir warkah. Cap pemerintah tempatan akan berada di bahagian tepi di sebelah kanan warkah manakala cap pihak Belanda berada setentang dengan cap pertama dan berada di sebelah kiri warkah.
Kedua-dua cap ini penting sebagai kesahihan perjanjian yang dibuat antara kedua-dua pihak yang terlibat. Sekiranya hanya satu sahaja cap digunakan ia merupakan persetujuan daripada satu pihak sahaja sedangkan pihak yang satu lagi tidak mengesahkan perjanjian tersebut. Kedua-dua cap ini penting dalam warkah perjanjian yang dibuat. Selain itu, dalam warkah-warkah iringan yang mengiringi warkah utama perjanjian, penggunaan cap kurang dipentingkan. Sering kali sesetengah pembesar tidak menurunkan tandatangan sebagai persetujuan tentang perjanjian yang dibuat oleh raja atau pemerintah mereka.

Penggunaan Dwibahasa: Dalam warkah perjanjian, dwibahasa merupakan perkara penting dan dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat. Sekiranya perjanjian dibuat antara pemerintah yang beragama Islam dengan pihak Belanda, warkah perjanjian akan ditulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Jawi dan bahasa Belanda dengan huruf Rumi. Bahagian perjanjian yang ditulis dalam bahasa Melayu akan berada di bahagian kanan manakala perjanjian yang ditulis dalam bahasa Belanda di sebelah kiri. Perjanjian yang melibatkan pihak Inggeris juga sama dari segi kedudukan bahasa yang digunakan.
Penggunaan dwibahasa dalam warkah perjanjian amat penting untuk mengelakkan tafsir serta salah pengertian yang wujud sekiranya perjanjian tersebut ditulis dalam satu bahasa. Pelbagai kemungkinan akan berlaku sekiranya perjanjian dibuat dalam satu bahasa dan mungkin sesetengah pihak akan cuba mentafsirkan kandungan perjanjian berdasarkan pengertian mereka sahaja. Oleh itu, pihak yang terlibat menggunakan dwibahasa untuk menghilangkan sebarang keraguan yang bakal timbul dalam perjanjian.

Penggunaan Kaligrafi: Warkah perjanjian bukanlah warkah sosial yang bersifat intim antara pengirimnya dengan penerima warkah. Disebabkan sifatnya yang formal itulah warkah perjanjian tidak ditulis dengan menggunakan kaligrafi yang menarik. Kebanyakan warkah perjanjian ditulis dengan huruf biasa sahaja dan jarang-jarang sekali jurutulis menggunakan kaligrafi yang menarik atau menggunakan pelbagai kaligrafi yang lain. Pendek kata, sekiranya jurutulis menggunakan huruf diwani, sehingga akhir warkah perjanjian akan ditulis dalam bentuk biasa tanpa ada sebarang bahagian penggunaan kaligrafi yang unik ataupun menarik.
Perkara ini berlaku disebabkan pihak yang terlibat dalam sesuatu perjanjian akan bertemu secara bersemuka dengan disaksikan oleh pembesar-pembesar atau wakil daripada pihak Barat. Oleh yang demikian, dirasakan tidak perlu warkah perjanjian dihiasi dengan pelbagai ciri menarik kerana yang paling penting ialah kandungan perjanjian dibuat itu.

5.0 Komponen-komponen Warkah
Secara umum sesepucuk warkah yang ditulis mestilah mempunyai strukturnya yang tersendiri dan menjadi panduan jurutulis pada waktu itu. Struktur warkah ini kemudiannya menjadi ikutan ataupun panduan kepada jurutulis yang lain dan sebagai pegangan kepada mereka. Antara warkah sosial dengan warkah perjanjian terdapat perbezaan yang jelas dari segi komponen yang membina kedua-dua warkah ini.

6.0 Komponen Warkah Sosial
Warkah sosial ialah warkah yang dihantar oleh pengirim yang pelbagai kategori sama ada raja, pembesar ataupun orang tertentu dan mereka mempunyai pelbagai tujuan. Warkah sosial mempunyai pelbagai jenis dan pengirimnya juga terbahagi kepada pelbagai golongan. Bagaimanapun, secara umum komponen warkah sosial dapat dibahagikan kepada enam komponen yang utama. Komponen yang membina warkah sosial adalah seperti yang berikut dan kedudukannya dalam warkah ditunjukkan seperti di bawah.
Kepala surat
Cap
Kata puji-pujian
Isi/kandungan warkah
Prapenutup
Penutup
(LIHAT LAMPIRAN 12)

Kepala Surat
Permulaan bagi sesepucuk warkah sosial ialah kepala surat. Dalam warkah sosial kepala surat akan berada di bahagian teratas sesepucuk warkah dan berkedudukan di bahagian tengah. Kepala surat ini akan ditulis dengan kaligrafi yang pelbagai bentuk yang menarik. Sesetengah pengirim warkah menggunakan bentuk kapal, buah, segi tiga, atau bentuk-bentuk lain. Kepala surat inilah permulaan bagi seseorang jurutulis menunjukkan kemahiran khat yang dimilikinya untuk dipaparkan kepada penerima warkah.
Dalam kepala surat terdapat beberapa ungkapan yang digunakan dan dalam warkah-warkah Melayu terdapat 23 ungkapan yang menjadi kepala surat masyarakat zaman lampau. Ungkapan-ungkapan yang digunakan sebagai kepala surat ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

nama Tuhan
bentuk kiasan pada cakerawala seperti bulan, bintang dan matahari
kepala-kepala surat yang lain

Contoh yang menggunakan nama Tuhan adalah: Al-Fattah, Ya`Aziz Ya Ghaffar, Ya`Aziz al-Karim. Contoh yang menggunakan bentuk kiasan adalah: Nur Syam wa al-Qamar, wa al- Nujum wa al-Syam wa al-Qamar. Contoh kepala surat yang ketiga adalah: al-Mustahaq, Qult hadha.
Kepala surat amat penting sebagai komponen utama warkah sosial kerana di sinilah bermulanya warkah dan kandungan warkah yang akan diperkatakan oleh pengirim. Misalnya, dalam warkah yang dihantar oleh Gurnadur Jeneral Jan Jacob Rochussen kepada Sultan Syed Syarif Uthman ibni Almarhum Sultan al-Qadri, Sultan Pontianak. Baginda menggunakan kepala surat yang berbunyi Qawl al-haqq. Kepala surat ini memberi gambaran bahawa terdapat perkara penting atau mustahak yang hendak diperkatakan oleh baginda.

Cap
Dalam warkah sosial, cap amat penting penggunaannya. Ini kerana ketulenan sesepucuk warkah ditentukan oleh cap yang digunakan. Dalam masyarakat Melayu tradisional cap yang digunakan adalah sebagai ganti diri pengirim. Secara umum, dalam masyarakat tradisional cap hanya dimiliki oleh golongan tertentu seperti raja ataupun golongan bangsawan seperti Bendahara, Laksamana, Syahbandar, Temenggung. Golongan raja, pembesar, kerabat diraja dan saudagar merupakan golongan yang memiliki cap pada zaman dahulu dan golongan inilah yang biasa mengirim warkah kepada golongan tertentu.
Dalam masyarakat tradisional cap tidak akan digunakan secara sembarangan. Dalam warkah, cap biasanya berada di sebelah kanan bahagian atas sesebuah warkah. Bagaimanapun, kedudukan cap dalam warkah akan berada di bawah sedikit apabila warkah tersebut dihantar oleh pembesar ataupun orang lain daripada raja. Dalam cap terdapat penggunaan kata-kata tertentu yang memainkan peranan penting sebagai penentu taraf atau status seseorang pengirim warkah. Dari segi bentuk, cap-cap Melayu yang digunakan oleh masyarakat zaman lampau merupakan cap yang tercantik sekiranya dibandingkan dengan cap-cap Islam dari negara-negara lain. Keadaan ini berlaku kerana seni hias ataupun hiasan yang terdapat dalam cap Melayu begitu unik dan mempesonakan. Hiasan pada cap-cap Melayu mengutamakan motif-motif tertentu dan mempunyai persamaan dengan seni ukir barang-barang perak ataupun hiasan yang lain. Motif bunga seperti bunga teratai kembang, unsur daun salur dan bunga-bunga yang lain menghiasi bulatan ataupun tulisan di dalam cap-cap Melayu. Kebiasaannya cap berbentuk bulat menjadi kegemaran masyarakat zaman lampau. Bagaimanapun, terdapat bentuk-bentuk lain seperti bentuk bunga atau bentuk lapan segi tetapi asasnya daripada bentuk bulatan yang diubahsuai ataupun ditambah bahagian-bahagian tertentu pada bentuk asalnya.
Kebanyakan cap yang berbentuk bulat dihiasi dengan empat, lapan, dua belas ataupun enam belas kelopak bunga di bahagian luar bingkainya. Kelopak-kelopak ini terdiri daripada pelbagai corak seperti corak pucuk rebung, separuh bulatan ataupun bentuk kubah masjid. (LIHAT LAMPIRAN 13, 14, 15, 16, 17 & 18)

Kata Puji-pujian
Kata puji-pujian ialah permulaan bagi sesepucuk warkah dan merupakan lakuan bahasa yang menjadi pembuka komunikasi pada isi yang hendak disampaikan oleh seseorang pengirim warkah. Dalam warkah Melayu lama terdapat pelbagai cara dan juga jenis kata-kata yang digunakan oleh seseorang pengirim warkah. Kata-kata yang digunakan dipengaruhi oleh status seseorang pengirim warkah sama ada mempunyai status yang lebih tinggi atau sama taraf dengan pengirim warkah.
Kata puji-pujian yang digunakan meleret-leret dan panjang lebar. Ia merupakan suatu bentuk pujian untuk membolehkan pengirim mengutarakan permintaan atau hajat dalam sesebuah warkah. Biasanya struktur warkah yang mempunyai kata puji-pujian melambangkan unsur kemesraan antara pengirim dan juga penerimanya. Pengirim seolah-olah mengiklankan atau membanggakan diri sendiri seta memuji-muji penerima warkah. Antara kata puji-pujian yang digunakan adalah seperti berikut:
. masyhur sampai ke mana-mana
· kerajaan yang tidak terlihat oleh penglihatan
· kemuliaan dalam negeri dunia ini
· kasih sayang selama-lamanya
· berkasih-kasihan yang tiada berputusan selagi ada perkitaran cakerawala

Dalam kata puji-pujian jurutulis menggunakan kaligrafi yang cukup menarik dengan pelbagai pola dan bentuk tulisan. Biasanya pada baris pertama jurutulis menggunakan kaligrafi yang difikirkan sesuai manakala baris yang berikutnya akan ditulis dengan tulisan biasa.

7.0 Isi/Kandungan Warkah
Isi ataupun kandungan warkah ialah perkara utama dalam sesepucuk warkah. Dalam bahagian inilah wujudnya segala permintaan ataupun kemahuan pengirim kepada penerima warkah. Dalam warkah-warkah Melayu kandungan warkah yang lazimnya disentuh oleh penulis ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan ekonomi, politik, perdagangan, hal-hal peribadi, ataupun pengiktirafan. Dalam sesepucuk warkah, pengirim biasanya mencampuradukkan pelbagai isi dalam satu warkah.
Antara satu isi dengan ini yang lain dapat dikenali berdasarkan penggunaan kata-kata tertentu dalam warkah. Disebabkan sistem tulisan, Jawi tidak mempunyai tanda bacaan, maka antara satu isi dengan isi yang lain akan ditandai oleh kata maka ataupun waba’dah. Kata-kata ini akan ditebalkan hurufnya berbanding dengan huruf-huruf lain sebagai tanda permulaan ayat baru ataupun isi baru dikemukakan oleh pengirim. Sesetengah warkah menggunakan banyak kata ini sekiranya banyak isi yang dikemukakan pengirim kepada penerima dan penggunaan kata ini bergantung pada bilangan permintaan pengirim kepada penerima warkah.
Isi-isi yang dikemukakan oleh pengirim kepada penerima mempunyai gaya tertentu dan dipengaruhi oleh lakuan bahasa. Pengirim akan menggunakan bentuk permintaan, menyatakan kehendak secara terus-terang, membuat andaian ataupun membangkitkan cerita lain.

8.0 Prapenutup
Dalam kebanyakan warkah bahagian ini memperkatakan secara khusus hadiah yang dikirimkan oleh pengirim warkah bersama-sama dengan warkah yang dihantar. Hadiah yang dihantar terdiri daripada pelbagai barang ataupun sekiranya tiada barangan hanya doa dan salam sahaja. Dalam bahagian ini kata-kata yang digunakan cukup beradat sebagai tanda hubungan mesra antara pengirim dan penerima warkah. Hadiah-hadiah yang pernah dihantar oleh pengirim kepada penerima boleh dikategorikan seperti berikut:
· binatang
- orang utan, kambing, ayam/ayam kembiri, kuda kembang/merah.
· manusia
- seorang budak, budak perempuan dua orang.
· barang hiasan
- jam emas, kasut perak, keris panjang, badik b erterapang, gading dua kepala, payung delapan butang, kain kasa berbunga emas, tombak sampak emas, teropong buatan Eropah.
· makanan dan minuman
- ubi, beras, dauh teh, anggur asam, buah tembikai.
· barangan lain
- lilin, sirih, ubat senapang. (LIHAT LAMPIRAN 19)

9.0 Penutup Warkah
Penutup warkah ialah bahagian akhir yang mengandungi maklumat tentang tarikh, tempat dan sering kali disisipkan doa pendek. Kadangkala bahagian ini dipisahkan dengan bahagian isi warkah tetapi ada juga warkah yang tidak dibuat gaya sebegini. Bagi warkah yang memisahkan bahagian isi dengan penutup warkah, terdapat satu ruang kosong dan penutup warkah akan ditulis dengan seni khat yang rapi dan teliti.
Kandungan penutup warkah berbeza-beza antara sepucuk warkah dengan warkah yang lain. Namun, secara umumnya terdapat beberapa ciri seperti nama tempat warkah ditulis, tahun hijrah, bulan, nama hari, waktu ataupun masa warkah ditulis dan tahun dalam Islam. Sering kali nama jurutulis tercatat dalam bahagian ini. Dalam bahagian ini terdapat penggunaan kata likur yang sering digunakan sebagai ganti untuk dua puluh. Ia merujuk nombor 21 hingga 29 dalam perkiraan orang Melayu.

10.0 Komponen Warkah Perjanjian
Warkah perjanjian ataupun warkah persetiaan ialah warkah persetujuan antara pihak-pihak yang terlibat. Perjanjian boleh melibatkan individu dengan individu yang lain ataupun antara pihak tertentu dengan pihak yang lain, misalnya perjanjian antara pihak sultan dengan pihak Barat seperti Inggeris dan Belanda. Dalam sesetengah kes, warkah perjanjian juga berlaku antara pembesar dalam sesebuah negeri dengan raja mereka yang terlibat dalam perjanjian dengan pihak Barat.
Sesetengah warkah perjanjian diiringi warkah lain yang dibuat secara berasingan. Perjanjian berasingan ini dinamakan sebagai warkah iringan yang dibuat secara berasingan untuk mendapatkan persetujuan daripada menteri dan juga putera raja tentang sesuatu perjanjian yang dibuat oleh Sultan.
Umumnya komponen yang membina atau menjadi struktur warkah perjanjian adalah seperti berikut.
Kepala surat
Kandungan warkah
Penutup
Cap
Tandatangan

Kepala Surat
Kepala surat bagi warkah perjanjian ialah tajuk sesuatu perjanjian dan pihak ataupun orang yang terlibat dalam perjanjian. Oleh itu, kepala surat boleh terdiri daripada tajuk, orang yang terlibat dalam perjanjian ataupun kedua-dua sekali.

Kandungan Warkah
Dalam warkah perjanjian, kandungannya mudah dikenal pasti kerana terdapat penggunaan kata “fasal” ataupun “perkara”. Kata-kata ini akan digunakan pada awal setiap perenggan baru, ayat baru ataupun di bahagian atas sesuatu perkara yang menjadi isi perbincangan antara kedua-dua pihak yang terbabit. Dalam sesetengah kes, kata-kata ini digunakan di sebelah kanan secara terasing serta selari dengan perkara yang hendak diperkatakan. Jenis warkah perjanjian sebegini kurang digunakan dan terdapat dalam warkah Perjanjian Keenam antara Sultan Ali dengan Marhum Ibrahim untuk menyerahkan hak milik kerajaan dan semua tanah jajahan Johor pada 30 Mac 1855.
Dalam warkah perjanjian iringan yang berbentuk sumpahan sultan ataupun pembesar dan putera raja, kata “fasal” ataupun “perkara” tidak digunakan langsung. Ini kerana kandungan utama warkah ini adalah persetujuan pihak-pihak yang terlibat dan sokongan mereka terhadap perjanjian yang dibuat oleh sultan mereka dengan pihak tertentu. Oleh itu tidak perlu dinyatakan “fasal” ataupun “perkara” kerana motif utama kewujudan warkah ini adalah untuk menyokong tindakan sultan mereka sahaja.

Penutup
Penutup warkah perjanjian mempunyai persamaan dengan warkah sosial dari segi butir yang terkandung dalam bahagian penutup. Penutup warkah mengandungi maklumat penting tentang tempat, tarikh, hari dan bulan sesuatu perjanjian itu dibuat. Dalam sesetengah perjanjian terdapat maklumat yang lengkap sehinggakan nama orang yang terlibat diulangi sekali lagi dalam bahagian penutup. Sering kali nama setiausaha atau jurutulis (dinyatakan sebagai kriteria) yang menulis perjanjian dinyatakan di bahagian ini.
Dalam bahagian penutup warkah perjanjian sering kali frasa menaruh tapak tangan atau menaruh tanda tapak tangan yang bermaksud tanda cap jari digunakan. Di samping itu terdapat juga frasa sumpahan atas al-Quran digunakan di bahagian ini sebagai bukti bahawa sumpahan yang dilakukan benar dan tidak ada muslihat di sebalik sumpahan itu. Frasa ini juga bermaksud bahawa al-Quran menjadi saksi perjanjian yang dibuat oleh mereka.
Telah dijanjikan dan dikuatkuasakan pada waad perjanjian ini dengan sumpahan atas menjabat Quran al-Azim serta termeterai dengan cap dan tandatangan oleh Paduka Syah Raja Tambuku berserta dengan sekalian bebatu-bebatu dan anak kecil-kecil di atas negeri Tambuku dengan sepanjang pada pesisir-pesisir di bawah keperintahan paduka Syah Raja Tambuku jua adanya. Perbuat di Ternate pada satu hari bulan Sa’ban harinya Selasa sanat 1302. (LIHAT LAMPIRAN 20, 21 & 22)

Cap
Dalam warkah perjanjian cap penting sebagai sebahagian daripada perjanjian kerana warkah perjanjian tanpa cap dianggap tidak sah. Oleh itu, dalam warkah perjanjian cap biasanya berada di bahagian bawah selepas penutup warkah perjanjian. Cap yang digunakan biasanya terdiri daripada dua cap yang berlainan, iaitu mewakili dua pihak yang membuat perjanjian. Kedudukan cap bergantung kepada bahasa yang digunakan dalam perjanjian. Sekiranya perjanjian antara pihak Belanda dengan sultan, cap sultan akan berada pada bahagian akhir perjanjian yang bertulis dalam bahasa Melayu manakala cap pihak Belanda pula di bahagian yang bertulis dalam bahasa Belanda. Kedua-dua cap sultan dan pihak Belanda akan berada setentang antara satu sama lain. Cap sultan akan berada di bahagian kanan dan cap pihak Belanda di sebelah kiri warkah perjanjian ataupun sebaliknya. Cap pihak sultan ditulis dengan tulisan Jawi bahasa Melayu manakala pihak Belanda dalam tulisan rumi. Dalam warkah Perjanjian antara Sultan Ali dengan Marhum Ibrahim untuk menyerahkan hak milik kerajaan dan semua tanah Johor pada 10 Mac 1855, cap Sultan Ali dan pihak Inggeris berada di sebelahh kanan secara barganding.

Tandatangan
Tandatangan atau kadangkalanya dinamakan tanda tapak tangan akan diperturunkan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu perjanjian sebagai kesahihan perjanjian yang telah dimeterai itu. Tandatangan dan juga cap mempunyai fungsi yang sama sebagai kesahihan sesuatu perjanjian dibuat. Dalam kebanyakan warkah perjanjian, tandatangan berada di bahagian bawah ataupun di bahagian tepi cap yang termeterai. Ia akan diperturunkan oleh pihak yang terlibat dalam sesuatu perjanjian sebagai bukti kesetiaan dan persetujuan bersama antara kedua-dua pihak.
Bahagian tandatangan sultan akan ditandatangani oleh baginda sendiri atau dalam sesetengah kes baginda akan digantikan oleh setiausaha baginda atau dinamakan sekretaris. Tandatangan sekretaris ini berada di bawah cap seseorang sultan dan akan dicatatkan dalam warkah tersebut kata bekas tapak tangan untuk menunjukkan sekretaris tersebut adalah wakil kepada pihak sultan yang membuat perjanjian itu.

Rujukan
Abdullah bin Abdul Kadir, 1932. Abdullah bin Abdul Kadir. Jil. 1 (Malay Literature Series; 4), Singapura: Malay Publishing House.
Ab. Razak bin Ab. Karim, 1998. “Warkah-warkah Melayu Sebagai Suatu Genre.” Disertasi Ph.D Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya: Kuala Lumpur.
Ab. Razak bin Ab. Karim, 2001 (b), “Warkah-warkah Perjanjian Melayu Lama: Suatu Analisis Genre” dlm. Seminar Kesusasteraan dan Undang-undang anjuran Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 26-27 Julai.
Gallop, Annabel The & Arp. Benard, 1991. Golden Letters: Writing Traditional of Indonesia. London: The British Library/Yayasan Lontar.
Gallop, Annabel The & Arp. Benard, 1992. The Art of Malay Letter Part I: Malay Seal. Workshop on Southeast Asian Manuscripts, Leiden, KITLV.
Gallop, Annabel The & Arp. Benard, 1994. The Legacy of the Malay Letters: Writing Traditions of Indonesia. London: The British Library.
Mahayudin Hj. Yahaya, 1987. Ensiklopedia Sejarah Islam, jilid III L-O. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mahmud Yunus, 1973, Kamus Arab – Indonesia, Indonesia, Jakarta: Yayasan Penyelenggaraan Penterjemah/Pentafsir Malaysia.
Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi, 1304H. Kamus Idris Al-marbawi Arab-Melayu, Singapura: Pustaka National.
Tengku Luckman Sinar, 1998. “Jati Diri Melayu” dlm. Pengajian Sastera dan Sosiobudaya Melayu Memasuki Alaf Baru, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya: Kuala Lumpur:
Wilkinson, R.J., 1955. A Malay-English Dictionary Part I, London: MacMillan & Co. Ltd.
Wilkinson, R.J., 1959. A Malay-English Dictionary Part II, London: Macmillan & Co. Ltd.
Wright, W., 1962. A Grammar of the Arabic Language Vol. 1 & 2, Cambridge: University Press.
UNTUK KETERANGAN LANJUT LIHAT : WARISAN MANUSKRIP MELAYU, 2002, PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA, KUALA LUMPUR.

WARKAH-WARKAH PERJANJIAN MELAYU LAMA: SUATU ANALISIS GENRE

PROF.MADYA DR.AB.RAZAK AB.KARIM
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
UNIVERSITI MALAYA

1.0 Pendahuluan
Kajian tentang warkah-warkah perjanjian amat berkurangan sekali dilakukan oleh para pengkaji sama ada pengkaji di Malaysia mahu pun di Indonesia. Ini berlaku kerana kekurangan minat serta faktor-faktor sampingan lain yang memainkan peranan penting menyebabkan masalah ini berlaku. Di samping itu, keadaan manuskrip warkah perjanjian itu sendiri yang kurang didapati di negara kita menyebabkan masalah ini semakin serius. Bagaimanapun, kajian yang dilakukan ini adalah untuk membuktikan bahawa warkah perjanjian yang berupa manuskrip merupakan bahan yang cukup bernilai dan perlu dikaji untuk paparan masyarakat.
Dalam makalah yang serba ringkas ini akan dipaparkan warkah-warkah perjanjian sebenarnya mempunyai suatu genre yang tersendiri dan berbeza daripada hasil karya sastera yang lain. Analisis yang dibuat adalah berdasarkan pendekatan sosiolinguistik. Kebanyakan data dalam kajian ini berdasarkan surat-surat perjanjian yang terdapat di Indonesia di antara pihak kerajaan Belanda dengan sultan atau pun pembesar di Indonesia.

2.0 Konsep Genre
Sejak zaman lampau, genre telah digunakan dengan meluas dalam karya-karya klasik, terutama dalam teks sastera. Konsep ini cukup meluas penggunaannya dan telah menjadi terlalu biasa bagi pengkaji teks sastera. Tidak hairanlah ditemui genre puisi klasik, genre novel dan sebagainya, namun dalam kajian linguistik konsep ini hanya digunakan sejak kebelakangan ini untuk melihat teks-teks yang distingtif.
Genre sebenarnya berasal daripada perkataan bahasa Perancis yang mempunyai makna “jenis” ataupun “kelas”. Dalam makalah ini genre akan didefinisikan sebagai suatu peristiwa komunikatif seperti yang diutarakan oleh Swales (1981:85-90). Berdasarkan pendapat Swales ini akan dibuktikan bahawa warkah-warkah perjanjian zaman lampau mempunyai genre yang tersendiri dan berlainan daripada genre-genre yang lain. Untuk membuktikan warkah-warkah perjanjian sebagai suatu genre, struktur warkah tersebut perlu dianalisis terlebih dahulu dan kemudiannya berdasarkan struktur ini dapat dilihat binaan warkah perjanjian tersebut.

3.0 Struktur Warkah Perjanjian
Warkah perjanjian ialah warkah persetujuan atau persetiaan bersama antara pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu perjanjian yang dibuat. Perjanjian boleh melibatkan individu dengan individu atau pun antara pihak tertentu dengan pihak yang lain. Dalam warkah-warkah perjanjian yang dikaji, ia melibatkan antara pihak sultan dengan pihak Barat seperti Inggeris dan juga Belanda. Dalam sesetengah warkah terdapat juga perjanjian yang dibuat antara pembesar dalam sesebuah negeri dengan raja mereka yang terlibat dalam sesuatu perjanjian dengan pihak Barat. Dari segi strukturnya, warkah perjanjian mempunyai komponen yang tersendiri. Dari segi bahagian-bahagian komponen ia mempunyai banyak persamaan nama tetapi dari segi binaannya terdapat perbezaan yang cukup jelas. Dalam sesetengah warkah perjanjian terdapat warkah lain yang mengiringinya dan ia dibuat secara berasingan untuk mendapatkan sumpahan daripada sultan, menteri dan juga putera-putera raja tentang sesuatu perjanjian yang telah dibuat. Warkah-warkah seperti ini juga tergolong sebagai warkah perjanjian dalam kajian ini. Secara umum warkah perjanjian terdiri daripada empat komponen yang menjadi strukturnya. Keempat-empat komponen tersebut ialah:
a) kepala surat
b) kandungan warkah
c) penutup
d) cap
e) tandatangan

Kelima-lima komponen ini menjadi binaan asas sesuatu warkah perjanjian walaupun sesetengah warkah perjanjian khususnya warkah perjanjian di Malaysia tidak mengikut binaan ini. Di bawah ini akan dibincangkan setiap komponen yang menjadi binaan sesepucuk warkah perjanjian.

a) Kepala Surat
Dalam warkah-warkah perjanjian, kepala surat terdiri daripada tajuk sesuatu perjanjian yang dibuat serta orang-orang yang terlibat dalam perjanjian. Kebanyakan warkah perjanjian tidak mempunyai tajuk tetapi hanya dinyatakan pihak-pihak yang terlibat ketika sesuatu perjanjian itu diadakan. Oleh itu, sesuatu kepala surat dalam warkah perjanjian boleh terdiri daripada tajuk, orang yang terlibat dalam perjanjian ataupun gabungan kedua-duanya. Misalnya:
i. Perjanjian diambil paliyani daripada sekawan orang Alforen Ternate apalah terkanji serta bertandakan akan di antara tuan yang terhormat:- Carel Lodewijk Weiling kesaksian berserta Ratu di Mokuku dalam nama dan bahagian bangsawan:- Johannes Siberg Gupernur Genderal serta dengan tuan maha bangsawan Raden India Wilanda pada suatu dan oleh Paduka Seri Maha Tuan Sultan Sirajul Buldani Tajul Alligi Mukaram Amir Iskandar Jihad Alimudin Kecil Mohd Yasin raja yang di atas kerajaan Ternate dengan menteri-menterinya pada sebelah pihak.
ii. Sumpahan Bagi Putera-putera Ternate Kaluarga Bagi Raja-raja Yang Tiada Dalam Majlis Perhimpunan Bicarah.

b) Kandungan Warkah
Kandungan sesepucuk warkah perjanjian mudah dikenali berdasarkan penggunaan kata fasal atau pun perkara. Kata-kata tersebut digunakan pada awal perenggan baru, ayat baru ataupun di bahagian atas sesuatu warkah perjanjian itu. Dalam sesetengah kes misalnya, Warkah Perjanjian Sultan Brunei dengan Raja Sarawak James Brooke pada 23 Ogos 1846, tidak ada langsung penggunaan kata fasal ataupun perkara sebagai tanda warkah perjanjian. Ia dapat dikenali sebagai warkah perjanjian berdasarkan kandungan warkah tersebut. Dalam warkah ini hanya satu sahaja perkara penting yang diperkatakan oleh Sultan Brunei kepada James Brooke. Oleh yang demikian, kata fasal atau pun perkara tidak perlu dimasukkan dalam perjanjian tersebut. Bilangan fasal ataupun perkara yang terdapat dalam sesepucuk warkah perjanjian akan menunjukkan jumlah kandungan sesuatu perjanjian itu dan dalam sesetengah perjanjian terdapat 21 fasal yang diperkatakan. Contoh isi dalam sesepucuk warkah adalah seperti yang berikut:

Fasal Satu
Paduka Seri Sultan Ternate mengaku pada mengenal kuasaan dan pertuanan oleh Gupernaminat Aulandawi dan berjanji suatu setiawan yang sempurna serta berbakti dan berlindung pada ia ampunya perintah.

Dalam warkah berbentuk Sumpahan Sultan, Pembesar-pembesar dan Putera-putera Raja kata-kata fasal ataupun perkara tidak ditemui penggunaannya. Keadaan ini berlaku kerana ia merupakan warkah sumpahan yang dibuat terhadap perjanjian yang telah dipersetujui oleh mereka. Ia merupakan suatu bentuk sokongan terhadap perjanjian yang dibuat oleh Sultan ataupun raja mereka.

c) Penutup
Komponen yang ketiga ialah penutup perjanjian. Pada bahagian penutup warkah perjanjian, butir-butir penting yang mengandungi nama tempat, tarikh, hari dan bulan dinyatakan dengan cukup jelas dan terperinci. Dalam sesetengah perjanjian, nama-nama orang yang terlibat juga ditulis. Sering kali nama-nama setiausaha (sekretaris) yang menulis perjanjian bagi kedua-dua pihak itu juga akan dinyatakan dalam bahagian ini. Misalnya, lihat penutup Warkah Perjanjian antara Residen Ternate Casparus Bosher serta Sultan Ternate Seri Paduka Tajul Muluk Amiruddin Iskandar Qaulin Syah dengan Raja Banggaay Kaicil Suak seperti di bawah ini.

Sudahlah dibuat dan menaruh tapak tangan serta capnya di dalam rumah Tuan Residen Ternate pada 31 hari bulan s1858 oleh kami Gasparus Bosher Residen Ternate dan Kaicil Suak dan di hadapan Thomas Reiner Johanned Martinus Huiser sekretaris dari Residen dan Abdul Habib sektretaris dari Seri Paduka Sultan Ternate.

Dalam bahagian penutup juga kata-kata “menaruh tapak tangan” ataupun “menaruh tanda tapak tangan” juga digunakan sebagai tanda bahawa tanda tangan akan diturunkan dalam warkah perjanjian tersebut. Di samping itu, dalam sesetengah warkah perjanjian, kata-kata sumpah atas Quran al-Azim digunakan dalam bahagian penutup warkah sebagai bukti bahawa sumpahan yang dilakukan benar dan tidak ada muslihat lain di sebalik sumpahan tersebut. Contoh penggunaan kata-kata di atas dapat dilihat seperti yang berikut:

Telah dijanjikan dan dikuatkan pula waad perjanjian ini dengan sumpahan atas menjabat Quran al-Azim serta termeterai dengan cap dan tanda tangan oleh Paduka Syah Raja Tambuku berserta dengan sekalian bebatu-bebatu dan anak-anak kecil di atas negeri Tambuku dengan sepanjang pada pesisir-pesisir di bawah keperintahan Paduka Syah Raja Tambuku jua adanya. Perbuat di Ternate pada satu hari bulan Sa’ban harinya Selasa sanat 1302.

d) Cap
Cap amat penting sebagai sebahagian daripada perjanjian kerana warkah perjanjian yang tidak dimeterai dengan cap dianggap tidak sah. Oleh itu, setiap warkah perjanjian mesti mempunyai cap dan cap berada di bahagian bawah selepas penutup. Cap yang digunakan biasanya terdiri daripada dua cap berlainan yang mewakili dua pihak yang membuat perjanjian. Dalam warkah perjanjian, cap yang digunakan ialah cap sultan bagi pihak sesebuah kerajaan Melayu dan juga cap pihak barat sama ada pihak Inggeris ataupun Belanda. Kedudukan cap ini bergantung pada bahasa yang digunakan dalam sesuatu perjanjian. Sekiranya perjanjian dibuat antara pihak Belanda dan juga sultan, cap sultan akan berada pada bahagian akhir di bahagian yang bertulis bahasa Melayu manakala cap pihak Belanda di bahagian yang bertulis bahasa Belanda. Cap sultan dan Belanda akan bertentangan antara satu sama lain. Cap pihak sultan bertulis huruf Jawi bahasa Melayu manakala pihak barat dalam tulisan Roman.
Kedudukan cap dalam warkah perjanjian terdapat dalam Warkah Perjanjian antara Carel Lodewijk Weiling Johannes Siberg Gabernor, Ratu dan Raden India Belanda dengan Seri Sultan Ternate Amir Iskandar Jihad Alimudin Syah Kecil Mohd Yasin pada 27 Febuari 1805. Dalam warkah in cap Sultan Ternate berada di sebelah kanan warkah manakala cap pihak Belanda berada di sebelah kiri. Kedua-dua cap ini bertentangan antara satu sama lain.

e) Tandatangan
Komponen terakhir dalam warkah perjanjian ialah tandatangan atau tanda tapak tangan yang diperturunkan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu perjanjian. Tandatangan merupakan kesahihan sesuatu warkah perjanjian selain daripada cap yang digunakan dalam warkah perjanjian. Tandatangan berada di bawah atau di bahagian tepi cap yang telah termeterai. Tandatangan akan diperturunkan oleh pihak yang terlibat sebagai bukti kesetiaan dan persetujuan bersama antara kedua-dua pihak.
Bahagian tandatangan sultan akan ditandatangani oleh baginda atau dalam sesetengah warkah baginda tidak menurunkan tandatangan tersebut. Sebagai gantinya, setiausaha (sekretaris) baginda akan menurunkan tandatangannya bagi pihak sultan. Misalnya, dalam Warkah Perjanjian antara Residen Ternate Johannes Alezander dengan Putera Yang Mulia Mayor Sarmole Raja Ternate dengan Gelaran Paduka Seri Sultan Amirulmukminin Iskandar Nazarudin pada 16 April 1822, tandatangan yang digunakan tercatat nama baginda sebagai Paduka Seri Sultan Ternate Amirulmukminin Iskandar Nasarudin Putera Pendekar.
Selain tandatangan sultan, tandatangan para pembesar juga terdapat tetapi kedudukannya berada di bawah tandatangan sultan. Tandatangan pembesar ini penting sebagai bukti persetujuan mereka menyokong perjanjian yang dibuat oleh sultan mereka. Tanda-tandatangan yang tercatat dalam warkah tersebut menyenaraikan nama-nama pembesar dalam pemerintahan Sultan Ternate seperti yang berikut:
i. Giguga Muhib Tamasya
ii. Kapitan Lama Prins (prince) Madapur
iii. Hukum Siaji Maidun
iv. Kimalaha Marsuli Kota Sarang
v. Kimalaha Tamsyik Ali
vi. Kimalaha Kiai Sahi
vii. Ghafamir Tergha Zakariah
viii. Siaji Taghmauti
ix. Siaji Takufi Sahib
x. Siaji Melayu Kanuri Siaji

Dalam warkah perjanjian yang lain pula, tidak ada tandatangan sultan yang terlibat dalam perjanjian itu walaupun terdapat cap baginda termeterai dalam perjanjian itu. Sebagai ganti, wakil sultan, iaitu sekretaris yang menulis warkah perjanjian telah menurunkan tandatangan beliau. Di bawah cap baginda tercatat perkataan “bekas tangan sekretaris Haji Abdul Habib”. Sekiranya sekretaris yang menandatangani sesuatu perjanjian itu, kata bekas tangan digunakan untuk menunjukkan beliau adalah wakil kepada pihak sultan yang membuat perjanjian.

4.0 Strategi Komunikasi dan Kesopanan dalam Warkah Perjanjian
Strategi komunikasi merupakan suatu kaedah yang digunakan oleh pemeran bagi mencapai sesuatu tujuan. Bahagian ini akan membincangkan perkaitan antara strategi komunikasi dengan kesopanan kerana dalam strategi komunikasi terdapat ciri-ciri kesopanan, iaitu langkah laku dan tutur kata yang sopan. Tidak semua strategi komunikasi kebahasaan merupakan strategi sopan kerana ada yang tidak mementingkan kesopanan tetapi pencapaian matlamat dengan apa cara sekalipun.
Dalam warkah-warkah perjanjian, terdapat enam unsur yang digunakan dalam hubungan strategi komunikasi dan kesopanan, iaitu:
a) perkaitan peranan
b) perbezaan taraf sosial
c) kewujudan kuasa
d) menjaga air muka
e) kepatuhan kepada tajuk
f) kepatuhan pada peraturan surat-menyurat

Keenam-enam faktor ini akan dibincangkan berserta dengan contoh-contoh yang sesuai seperti di bawah ini.

a) Perkaitan Peranan
Dalam penulisan warkah perjanjian, pemeran-pemeran yang terlibat mempunyai peranan masing-masing dan setiap peranan mempunyai perkaitan dengan peranan yang lain. Pemeran yang terlibat ialah jurutulis (sekretaris) dan pihak yang membuat perjanjian, iaitu sultan dan pegawai-pegawai Inggeris ataupun Belanda. Mereka memainkan peranan penting kepada jurutulis merupakan orang yang akan mendraf warkah dan jurutulis akan menulis sesuatu perjanjian kerana dialah orang yang pakar tentang penulisan sepucuk warkah perjanjian. Jurutulis akan menulis segala keinginan serta permintaan kedua-dua belah pihak dan dia akan memastikan perjanjian yang dibuat dipersetujui oleh mereka. Jurutulis juga merupakan orang yang akan membacakan draf yang telah ditulisnya itu. Dengan in terdapat perkaitan erat antara peranan jurutulis dan juga pihak sultan, pegawai-pegawai Inggeris ataupun Belanda dalam penulisan warkah perjanjian. Pengiktirafan seseorang jurutulis itu akan diperakui oleh sultan, pihak Inggeris atau Belanda kerana dalam warkah perjanjian nama-nama jurutulis atau sekretaris tercatat sebagai saksi ataupun wakil sultan

b) Perbezaan Taraf Sosial
Pemeran-pemeran yang terlibat dalam perjanjian berada dalam pertemuan bersemuka dan wujud suatu kesedaran di kalangan mereka akan hubungan antara mereka. Pemeran sedar tentang pangkat sosial yang wujud di kalangan mereka. Kesedaran ini dihubungkan dengan Siapa bercakap siapa. Di kalangan masyarakat Melayu terdapat beberapa pangkat sosial seperti kerabat di raja, pembesar dan sebagainya manakala di kalangan pegawai Inggeris ataupun Belanda mereka mempunyai jawatan-jawatan tertentu seperti Residen, Residen General, Gabenor, Gabenor General dan sebagainya.
Pangkat sosial dan juga jawatan yang diperkata di atas memainkan peranan penting dalam hubungannya dengan perjanjian yang dibuat. Dalam hubungan ini, sultan ataupun pembesar mempunyai pangkat sosial yang tinggi di kalangan masyarakat Melayu dan mereka berhak mengadakan perjanjian dengan orang luar sedangkan rakyat ataupun golongan yang diperintah tidak melakukan fungsi ini. Di kalangan orang barat pula, Residen, Residen General, Gabenor atau Gabenor General akan membuat perjanjian kerana kepentingan yang akan mereka perolehi.

c) Kewujudan Kuasa
Perbezaan taraf sosial yang wujud di kalangan anggota masyarakat berkaitan dengan adanya kuasa berdasarkan taraf yang dimiliki oleh seseorang itu. Anggota masyarakat menyedari bahawa wujud kuasa yang tidak dapat dilihat tetapi wujud dalam situasi tertentu.Dalam masyarakat Melayu lama, kuasa terletak di tangan pemerintah dan para pembesar yang dilantik oleh sultan. Kuasa yang ada pada sultan bersifat mutlak dan baginda yang akan mengadakan hubungan dengan pelbagai pihak termasuk pihak barat. Pembesar pula akan bertindak demikian berdasarkan kuasa yang diberi oleh sultan. Mereka menyedari bahawa di sebalik kuasa yang dimiliki terdapat kuasa lain yang lebih tinggi, iaitu sultan dan kuasa ini dinamakan sebagai kuasa tersembunyi.
Kuasa ini bukan sahaja wujud di kalangan masyarakat Melayu namun di kalangan pegawai-pegawai barat juga ada. Walaupun mereka memegang jawatan-jawatan penting namun terdapat kuasa tersembunyi yang lebih besar di sebalik mereka. Mereka merupakan lantikan dan juga wakil daripada kerajaan Belanda ataupun British yang mengawal segala tindak tanduk mereka. Kewujudan kuasa yang lebih besar ini dapat dilihat dalam banyak warkah perjanjian antara sultan ataupun pembesar dengan pihak barat. Dalam contoh di bawah ini ditunjukkan nama orang yang memegang jawatan-jawatan tertinggi akan mendahului nama pegawai-pegawai yang lebih rendah tarafnya dalam sesuatu perjanjian itu. Misalnya:

Dari oleh Residen Ternate Yongker Carel Frederick Holfdman dari nama Gapernaminat Netherland India seperti yang Dipertuan Maha Mulia berserta Seri Paduka Sultan Ternate...

Penjelasan di atas menunjukkan bahawa kewujudan kuasa yang tersembunyi ini seolah-olah bagai tangan-tangan yang tidak kelihatan serta mengawal segala kesopanan yang digunakan oleh pemeran yang terlibat:

d) Menjaga Air Muka
Dalam budaya Melayu, air muka berperanan penting bukan sahaja semasa berlangsungnya komunikasi tetapi juga menjangkau ruang lingkup yang lebih daripada itu. Dalam komunikasi dengan orang lain, seseorang pemeran itu akan berhati-hati apabila menggunakan bahasa supaya tidak berlaku kekasaran bahasa dan pihak kedua tidak tersinggung dengan bahasa yang digunakan oleh pihak pertama tadi. Oleh itu, bahasa yang digunakan oleh kedua-dua pihak mestilah sopan dan tidak ada bahasa kesat, mencarut, caci maki, keji mengkeji dan sebagainya.
Dalam warkah perjanjian, bahasa yang digunakan oleh pemeran yang terlibat adalah sopan dan bahasa terpelajar. Pemeran-pemeran yang terlibat perlu menggunakan bahasa yang sopan memandangkan ia melibatkan hubungan antara dua buah kerajaan ataupun antara dua buah negara. Sebagai raja, pembesar, pegawai tinggi Belanda atau Inggeris, mereka perlu menggunakan bahasa yang sopan untuk menjaga hubungan yang akan mereka adakan ataupun mengekalkan hubungan yang telah sedia terjalin. Bahasa yang sopan terdapat penggunaannya pada kepala surat, isi/kandungan warkah yang penutup warkah. Oleh itu, faktor menjaga air muka penting dalam warkah-warkah perjanjian kerana ia melibatkan hubungan politik antara dua buah negara. Dengan ini, pemeran-pemeran yang terlibat sedaya upaya menjaga air muka pihak yang satu lagi agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

e) Kepatuhan Kepada Tajuk atau Bidang
Dalam warkah perjanjian kepatuhan kepada tajuk ataupun bidang amat penting supaya sesuatu perkara yang tidak penting atau kurang berkaitan dengan sesuatu perjanjian tidak akan dimasukkan ataupun dibincangkan. Kepentingan tajuk jelas tergambar dengan penggunaan tajuk khusus dalam sesuatu perjanjian yang dibuat antara dua belah pihak. Misalnya, dalam perjanjian antara Residen Ternate Johannes Alexander Putera yang Mulia Mayor Muhammad Zain Dengan Gelaran Padeka Seri Sultan Tajul Muluk Amiruddin Iskandar Qaulin terdapat 19 fasal perjanjian yang telah dipersetujui bersama.
Kepatuhan kepada tajuk menyebabkan baginda dan Residen Ternate Johanned Alezander hanya memasukkan 19 fasal sahaja sebagai kandungan penting perjanjian. Perkara-perkara lain seperti sumpahan menteri-menteri, keterangan dan pengakuan mereka tidak dimasukkan dalam kandungan perjanjian utama. Perkara-perkara ini dibuat berasingan dalam warkah lain dan mempunyai tajuk yang berbeza daripada warkah perjanjian utama. Dalam Warkah Sumpahan Oleh Paduka Seri Sultan Ternatet Tajul Muluk Amiruddin Iskandar Qaulin Syah kandungannya sama sekali berlainan dan berbeza daripada kandungan perjanjian utama. Dalam warkah Sumpah Menteri dan Putera-putera Ternate Yang Tiada Dalam Majlis Perhimpunan Bicarah kandungannya sama tetapi berbeza daripada kedua-dua warkah di atas.
Kepatuhan pemeran terhadap tajuk atau bidang menyebabkan mereka tidak akan mencampuradukkan kandungan perjanjian utama dengan perjanjian-perjanjian sampingan atau sumpahan. Kepatuhan mereka ini melahirkan suatu bentuk peraturan yang telah dipersetujui bersama dan menjadi panduan kepada mereka. Dengan ini kepatuhan kepada tajuk atau bidang merupakan salah satu daripada ciri kesopanan dalam sesuatu peristiwa bahasa.

f) Kepatuhan Kepada Peraturan Surat-menyurat
Dalam warkah perjanjian, kepatuhan kepada surat-menyurat perjanjian perlu oleh pihak yang terlibat seperti tulisan, pembesar, putera-putera raja dan pihak Belanda/Inggeris. Warkah perjanjian mempunyai struktur kepala surat, kandungan perjanjian, penutup, cap dan tandatangan pihak yang membuat perjanjian. Penyimpangan daripada kebiasaan ini jarang berlaku dan pihak yang terlibat perlu mematuhi struktur warkah perjanjian yang telah mereka amalkan. Kepatuhan pada struktur perjanjian akan memudahkan sesuatu perjanjian itu dibuat kerana kepala surat memuatkan tajuk perjanjian dan pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian. Kandungan perjanjian akan memudahkan pihak yang terlibat mengetahui perkara-perkara ataupun fasal-fasal yang berkaitan dan dipersetujui bersama. Ia merupakan rujukan dan juga panduan bersama. Bahagian penutup pula mengandungi butir-butir terperinci tentang tempat, tarikh, hari dan bulan sesuatu perjanjian dibuat. Cap penting sebagai pengesahan sesuatu perjanjian dan dipersetujui bersama oleh pihak yang terlibat. Tanpa cap sesuatu perjanjian dianggap tidak sah kerana tidak diperakukan oleh kedua-dua pihak. Tandatangan atau tanda tapak tangan merupakan bukti kesahihan perjanjian yang termeterai dan dipersetujui bersama antara kedua-dua pihak.
Berdasarkan perbincangan di atas, dalam warkah-warkah Melayu, perkaitan antara strategi komunikasi dan kesopanan cukup erat. Ia ditentukan oleh faktor-faktor perkaitan peranan, perbezaan taraf sosial, kewujudan kuasa, menjaga air muka, kepatuhan pada tajuk atau bidang dan kepatuhan pada peraturan surat-menyurat. Faktor-faktor ini saling berkaitan dan menentukan kesopanan bahasa yang digunakan oleh pemeran-pemeran yang terlibat dalam surat-surat perjanjian Melayu.

5.0 Bentuk Genre Warkah Perjanjian
Warkah perjanjian merupakan genre yang tersendiri berdasarkan bentuk, teknik dan juga kandungannya. Dari segi bentuk, susunan komponen-komponen warkah perjanjian menstrukturkan warkah perjanjian sebagai suatu jaringan yang cukup utuh. Setiap proses akan diikuti oleh proses yang seterusnya sebagai suatu kesatuan yang padu dalam binaannya. Dari segi bentuk, warkah perjanjian menggunakan bahasa tulisan yang merupakan suatu rakaman peristiwa komunikatif yang berlaku dalam abad ke-19.
Bentuk genre dalam warkah perjanjian berkaitan dengan struktur genre. Warkah perjanjian mempunyai struktur tersendiri dengan susunan komponen masing-masing yang menjadi struktur warkah perjanjian. Struktur ini melahirkan jaringan sosial dalam sesuatu teks dan memperlihatkan hubungan antara komponen-komponen yang membina warkah sebagai satu kesatuan yang utuh atau terdapat “tali-tali” yang mengikat teks ini menjadi genre yang tersendiri.
Struktur yang membina warkah perjanjian merupakan suatu proses yang diikuti oleh proses yang lain. Warkah perjanjian dimulakan dengan kepala surat, iaitu tajuk sesuatu perjanjian sebagai proses yang pertama dan kemudiannya proses ini diikuti oleh proses yang kedua, iaitu kandungan warkah. Proses yang seterusnya ialah penutup, cap dan tandatangan.
Komponen-komponen yang membina warkah perjanjian ini merupakan gabungan beberapa proses yang bermula daripada proses pertama, kedua, dan seterusnya hingga proses yang terakhir. Proses-proses yang terlibat ini saling berkaitan antara satu sama lain sebagai suatu bentuk kesatuan utuh yang dinamakan genre.

6.0 Teknik Genre Warkah-warkah Perjanjian
Warkah perjanjian mempunyai teknik yang tersendiri. Teknik yang digunakan adalah berdasarkan strategi komunikasi dan juga lakuan bahasa. Dalam strategi komunikasi, ia melibatkan pemeran-pemeran dalam sesuatu peristiwa komunikatif sama ada penggunaan kaedah langsung ataupun kaedah tak langsung yang telah ditetapkan oleh budaya dalam masyarakat pada waktu itu. Oleh yang demikian, teknik yang digunakan berkaitan dengan sesuatu peristiwa komunikatif yang terdapat tujuan sesuatu komunikasi itu diadakan dan faktor pemeran dan persekitaran budaya memainkan peranan penting dalam sesuatu genre.
Teknik genre juga berkaitan dengan kesopanan, iaitu aspek bahasa yang digunakan oleh pihak sultan dan juga pegawai-pegawai Belanda ataupun Inggeris dalam sesuatu perjanjian sebagai suatu gambaran tingkah laku mereka sama ada secara sopan atau tidak. Kesopanan yang digunakan dalam warkah-warkah Melayu memperlihatkan faktor-faktor sosiolinguistik seperti perbezaan taraf sosial, kewujudan kuasa, menjaga air muka, kepatuhan kepada tajuk atau bidang dan kepatuhan surat-menyurat.
Warkah-warkah perjanjian menggunakan teknik strategi komunikasi, lakuan bahasa dan juga kesopanan sebagai ciri genre yang tersendiri. Teknik-teknik yang digunakan ini dipengaruhi oleh persekitaran budaya masyarakat pada waktu itu.

7.0 Kandungan Genre Warkah-warkah Perjanjian
Kandungan merupakan sesuatu yang diperkatakan oleh wacana dan tanpa kandungan tidak akan wujud wacana. Dalam warkah-warkah perjanjian Melayu lama, wacana yang digunakan mempunyai jaringan yang utuh antara satu fasal dengan fasal yang lain. Keutuhan ini diikat oleh jaringan yang utuh antara satu ayat dengan ayat yang lain. Hubungan yang utuh dalam wacana ini dibuat kerana terdapat hubungan yang padu antara ayat-ayat dalam kandungan warkah perjanjian. Jalinan yang utuh menunjukkan bahawa sesuatu unsur dalam wacana akan bergantung pada tafsiran unsur yang lain atau sesuatu unsur itu saling memerlukan unsur yang lain sebagai suatu wacana.
Kandungan sesepucuk warkah perjanjian terdiri daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan perjanjian seperti hal penjualan lada, pertuanan Belanda, kesetiaan, pergudangan, hak wilayah dan sebagainya. Kandungan merupakan inti pati warkah yang dipersetujui bersama. Apabila diperkatakan kandungan genre warkah perjanjian ia mempunyai laras yang khusus. Banyak istilah undang-undang yang digunakan dalam penulisan sesebuah perjanjian. Kata-kata istilah ini hanya penentuan bidang dan ciri bidang tersebut. Ia bukanlah suatu gambaran tentang genre warkah-warkah Melayu lama.
Penjelasan yang telah diberi menunjukkan bahawa kajian tentang genre terhadap warkah-warkah perjanjian perlu dibuat berdasarkan keseluruhan genre yang terdapat pada warkah tersebut dan bukannya pada laras yang ada di dalamnya. Walaupun laras amat penting tetapi warkah perjanjian tidak menggambarkan suatu laras yang khusus.

8.0 Jaringan Sosial dalam Warkah Perjanjian
Bentuk, teknik dan kandungan merupakan perkara-perkara yang dapat diteliti dalam warkah-warkah perjanjian lama. Warkah-warkah yang ditulis merupakan peristiwa bahasa yang dirancang oleh pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu perjanjian itu. Pemeran-pemeran yang terlibat menyedari bahawa terdapat kuasa yang tidak dapat dilihat tetapi ada dalam situasi tertentu berdasarkan taraf sosial yang dimiliki oleh seseorang itu sama ada di kalangan orang-orang Melayu, pegawai-pegawai Belanda ataupun Inggeris.
Sultan memiliki kuasa mutlak yang tidak boleh dipersoalkan oleh orang bawahan kerana mereka memberi kuasa kepada sultan. Para pembesar pula segala tindak-tanduk mereka dikawal oleh sultan sebagai kuasa yang tersembunyi dan mereka akan menjalankan pelbagai tugas yang diamanatkan oleh sultan kepada mereka seperti mengadakan hubungan dengan pihak barat. Oleh itu, hubungan yang dibuat dengan pihak barat merupakan langkah yang dilakukan bagi pihak sultan. Sultan pula mempunyai kuasa tersembunyi yang mengawal mereka.
Pegawai-pegawai Inggeris ataupun Belanda juga dikawal oleh kuasa yang tersembunyi. Jawatan yang mereka sandang seperti Residen, Gabenor General ataupun Gabenor bukanlah memastikan mereka mempunyai kuasa mutlak. Kuasa yang tersembunyi dan lebih besar di sebalik jawatan mereka seperti raja Netherland atau Ratu England mengawal segala tindak tanduk mereka. Mereka hanya menjalankan kuasa yang telah diberikan kepada mereka dan pada masa yang sama mereka juga mematuhi kuasa yang lebih besar lagi. Oleh yang demikian, peraturan-peraturan dalam warkah perjanjian dikawal oleh kepatuhan mereka kepada kuasa tersebut. Dengan ini, corak penulisan warkah perjanjian, khususnya dari segi teknik dan kandungan perlu mengambil kira kuasa-kuasa yang tersembunyi ini.

9.0 Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, warkah-warkah Melayu memang mempunyai genre yang tersendiri. Ia mempunyai teknik, kandungan, dan juga jaringan sosial yang tersendiri dan berbeza daripada warkah-warkah lain yang terdapat pada zaman tersebut. Keunikan inilah yang menyebabkan lebih banyak lagi kajian perlu dilakukan oleh para pengkaji agar warisan budaya masyarakat zaman lampau ini tidak terbiar begitu sahaja dan hilang dimakan usia dan pemodenan.

NASKHAH-NASKHAH BUTON




NASKHAH-NASKHAH PULAU BUTON – ANTARA REALITI DAN IGAUAN[1]

Prof.Madya Dr.Ab.Razak Ab.Karim
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya

1.0 Pendahuluan: Naskhah-naskhah Melayu merupakan naskhah yang paling banyak bertebaran di seluruh ceruk rantau di dunia ini. Penyebarannya yang begitu meluas dan amat banyak menyebabkan naskhah ini menjadi buruan pencinta naskhah sama ada pihak barat mahupun masyarakat setempat.

Dalam makalah ini akan dibincangkan naskhah-naskhah Pulau Buton dari aspek masalah yang dihadapi, pemilik-pemilik naskhah dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan naskhah ini. Umumnya mengetahui bahawa apabila disebut sahaja naskhah Pulau Buton, akan tergambar dalam fikiran kita tentang koleksi Muluku Zahari yang telah dikatalogkan oleh Achadiati Ikran dan rakan-rakan beliau pada tahun 2001 dan di dalam katalog ini tersenarai 320 buah naskhah[2]. Namun, apabila kajian dilakukan di kawasan ini masih banyak lagiu naskah Pulau Buton yang tidak dan belum dikatalogkan kerana pemilik perseorangan sebahagian besarnya bersifat “pemalu” untuk dijalankan pendokumentasian terhadap naskhah mereka.

2.0 Latar Belakang Pulau Buton dan Masyarakatnya : Pulau Buton atau dikenali juga dengan nama Butong berada di wilayah SULTRA, iaitu di wilayah Sulawesi Tenggara dan menurut penduduk tempatan, pulau ini mendapat nama daripada sebatang pokok yang bernama pokok butu, iaitu nama saintifiknya (barringtonia asiatica). Penduduk setempat kemudiannya memanggil butun sebagai penanda daripada para pelaut di Kepuluan Nusantara yang sering singgah di pulau ini. Lama-kelamaan nama ini kekal dan pulau ini mendapat nama Buton. Pokok butu hanya terdapat di pulau ini dan hidup subur di kawasan berpasir. Oleh yang demikian nama pulau ini adalah sempena nama sebatang pokok yang terdapat di pulau ini.

Dari segi geografi kedudukan Pulau Buton atau dikenali juga dengan nama Pulau Butong terletak di bahagian selatan garisan Khatulistiwa di antara 122.30 darjah – 1223.45 darjah. Pulau ini mempunyai keluasan kawasan daratan 30 km persegi dan dari segi topografi kota ini dikelilingi oleh kawasan berbukit-bukit.

Dari segi pemerintahan pula, pulau Pulau Buton mempunyai sebuah kota pentadbiran yang dinamakan Bau-bau[3]. Kota ini mempunyai 4 wilayah pentadbiran, iaitu Bungi, Sarawolio, Wolio dan Betoambari. Setiap Kecamatan mempunyai desa, dan di bawah desa terdapat kelurahan. Kecamatan Beoambari san Wolio sahaja tidak terdapat kelurahan. Kecamatan Betoambari dan Wolio sahaja mempunyai desa manakala dua lagi Kecamatan mempunyai desa dan kelurahan. Kota Bau-bau dikepalai oleh seorang Wali Kota dan dibantu oleh Sekretaris dan Dinas-dinas tertentu.

Pulau Pulau Buton mempunyai bilangan penduduk seramai 120,502 orang berdasarkan bancian yang dilakukan pada tahun 2004. Daripada bilangan tersebut, bilangan penduduk lelaki seramai 58,469 orang ataupun 48.52% manakala selebihnya golongan wanita.

Dari segi agama, lebih daripada 90% daripada masyarakat di sini beragama Islam dan selebihnya agama-agama lain seperti Kristian dan Hindu[4]. Menurut sejarah raja keenam memeluk Islam pada tahun 1540 dan menjadi raja pertama bergelar Sultan[5]. Di bawah pemerintahan baginda seluruh kerajaan Buton secara rasmi memeluk Islam dan Islam menjadi agama rasmi kerajaan ini. Masyarakat Islam di sini berpegang teguh pada Kitab Martabat Tujuh dan ajarannya sebagai pegangan hidup mereka sejak datuk nenek mereka lagi[6]. Berdasarkan catatan, Martabat Tujuh merupakan undang-undang dasar yang telah disusun oleh Sultan Elangi pada awal abad ke-17. Peraturan itu ditemui dalam pemerintahan Sultan Muhammad Idrus yang memerintah dari tahun 1824-1851.

Martabat Tujuh bermaksud tujuh posisi atau tujuh tingkat perwujudan. Ungkapan ini telah digunakan dalam tulisan golongan sufi mistik yang ditemui di Aceh pada permulaan abad ke-17[7]. Pengaruh ini telah diterima dan mempengaruhi masyarakat serta pemerintahan di Buton. Berdasarkan Martabat Tujuh, ia merupakan pancaran Tuhan (Allah) yang mewakili bermacam-macam tingkat , iaitu :

1) Tingkat pertama dinamakan martabat ahdat, iaitu tingkat daripada semua hakikat yang belum diwujudkan oleh Tuhan sepenuhnya terwujud dalam diri sendiri daripada zat, hakikat truhan sebenarnya yang belum ditampakkan.

2) Tingkat kedua dinamakan martabat wahadat iaitu tingkat pertama mengretahui sifat-sifat tuhan yang menampakkan hakikatnya (zatnya).

3) Tingkat ketiga dinamakan martabat wahidiyat iaitu tingkat orang mempelajari nama sifat-sifat tuhan.

4) Tingkat keempat dinamakan, martabat alam arwah ialah alam arwah.

5) Tingkat kelima dinamakan martabat alam misali iaitu alam fikiran, pencerminan atau contoh segala sesuatu yang ada.

6) Tingkat keenam dinamakan martabat alam ajsam, iaitu alam badan (yang dapat dipisah-pisahkan dan dibahagi-bahagikan) sebagai sifat khusus yang lebih lanjt daripada pewujudan.

7) Tingkat ketujuh dinamakan martabat alam insan, iaitu alam manusia yang menggabungkan semua tingkat sebelumnya (pertama hingga 6) .

Sehingga kini ajaran Martabat Tujuh masih kuat diamalkan oleh masyarakat di Bau-bau dan anggota masyarakat mengikutinya secara patuh kerana mereka mewarisinya daripada leluhur mereka lagi.

3.0 Pengaruh-pengaruh Luar pada Naskhah Bau-bau
Setakat yang diketahui belum ada kajian menyeluruh dan selengkapnya yang dilakukan oleh para pengkaji tentang naskhah-naskhah yang berada di Bau-bau[8]. Ramai sarjana Barat sendiri tidak mengetahui bahawa di Bau-bau terdapat banyak lagi naskhah yang bernilai dan belum dibuat kajian sama ada secara mendalam ataupun menyeluruh.

Berdasarkan faktor sejarah, Bau-bau merupakan salah satu daripada jalur perdagangan antara bangsa yang menghubungkan pulau ini dengan jalur perdagangan yang digunakan oleh para pedagang. Jalur yang dimaksudkan ialah perdagangan antara Cina dengan kepuluan Asia Tenggara. Pulau Buton merupakan jalur perdagangan paling timur di Indonesia dan para pedagang menggunakan jalur ini untuk berdagang, kapal-kapal dari Cina akan menyusuri kawasan-kawasan pedagangan seperti Pattani, Kalimantan (Pontianak) dan seterusnya ke Pulau-pulau seperti Ternate, Moluku dan pulau-pulau lain yang kaya dengan rempah ratus. Untuk meneruskan perdagangan ke kawasan lain seperti Jawa , jalan yang paling dekat adalah melalui Makassar. Menurut (Schoorl 2003:3), dokumen-dokumen barat menjelaskan bahawa Buton terletak di titik strategis pada rute dari Jawa dan Makassar ke Moluku, iaitu pusat pengeluaran rempah-rempah Indonesia.Dalam abad ke-16 Buton masih kuat dipengaruhi oleh pengaruh Ternate dan pulau ini merupakan kawasan sekunder bagi empayar Ternate yang mengawal perdagangan dan tempat pengumpulan hasil-hasil di sekitarnya untuk di hantar ke Ternate. Berdasarkan fakta ini berkemungkinan Islam di Buton dibawa oleh para pedagang dari Ternate kerana Ternate telah menerima Islam lebih awal daripada Buton.

Pulau Buton berada antara Makassar dan juga Kepuluan Tukang Besi[9]. Bagi para pedagang, Pulau Tukang Besi amat penting untuk mereka membaiki kerosakan kapal sekiranya berlaku kerana besi yang banyak terdapat di pulau ini dan untuk mendapatkan bekalan-bekalan lain dalam pelayaran mereka. Pulau Buton dan pulau-pulau di sekitarnya seperti Kabeana, Muna dan lain-lain lagi mempunyai bekalan kayu jati untuk memperbaiki kapal-kapal di Pulau Tukang Besi. Pulau Muna, Kabaena, Wang-wangi, Kaledupa berdekatan dengan Pulau Buton yang kaya dengan kayu jati bermutu tinggi dan amat penting bagi menyediakan bekalan penting yang diperlukan.

Bagi para pedagang yang belayar, mereka membawa pelbagai pengaruh dalam misi perdagangan mereka. Ini terbukti dengan pengislaman Melaka, Aceh, Pasai dan kawasan-kawasan lain disebabkan oleh pengaruh para pedagang yang datang. Perkara yang sama juga berlaku di Pulau Buton. Para pedagang yang singgah berdagang di Pulau Buton akan menyebarkan Islam dan awal abad ke-17 Buton mempunyai kesultanan Islam yang cukup kuat. Walaupun dikatakan kerajaan Buton telah wujud pada abad ke-7 tetapi tidak ada bukti yang kukuh dan kebanyakannya berdasar cerita-cerita rakyat.[10]

Pengaruh Islam yang kuat di Buton adalah disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh para pendakwa/ulama. Mereka menyebarkan Islam dengan membawa pelbagai ajaran tasawuf/ilmu mistik dan juga kitab-kitab fekah sebagai bahan rujukan bagi masyarakat setempat. Suatu yang menarik ialah ajaran tasawuf yang diajarkan di Pattani dan juga di Aceh terdapat dalam banyak naskhah di Buton. Misalnya naskhah Kitab Fawaidul Bahiyyah terjemahan daripada anak murid Tok Awang Kenali di Kelantan terdapat dalam simpanan Bapak Mujazi[11]. Walaupun hubungan antara Kelantan dan Bau-bau begitu jauh tetapi kitab ini satu-satunya yang ditemui di Bau-bau. Contoh lain ialah Al-Quran milik bapak Sofian memperlihatkan iluminasi pengaruh Aceh begitu ketara sekali. Al-Quran ini dijangka ditulis sezaman dengan Abdul Rauf Al-Singkel di Aceh. Berdasarkan dua contoh ini membuktikan bahawa pengaruh para pedagang amat penting dalam pengebaran idealogi dan juga naskhah di alam Melayu.

Banyak lagi contoh naskhah yang menunjukkan bahawa naskhah-naskhah di Bau-bau dipengaruhi oleh ulama-ulama di pusat-pusat penyebaran Islam di Pattani, Aceh atau kawasan-kawasan lain. Bagaimanapun, pengaruh Aceh dan Pattani telah mendominasikan naskhah-naskhah mereka ini. Walaupun begitu satu aspek penting yang paling ketara ialah unsur iluiminasi pada naskhah-naskhah tidak begitu dominan. Kebanyakan naskhah jarang mempunyai iluminasi. Sesetengah naskhah mempunyai unsur iluminasi alakadar sahaja dan dakwat yang digunakan hanyalah yang berwarna hitam dan merah sahaja[12]. Dengan erti kata laian, ciri-ciri naskhah Buton yang utama ialah ketiadaan unsur iluminasi yang menggambarkan ciri naskhah setempat dan gambaran budaya masyuarakat tempatan.

Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan naskhah yang berunsur keagamaan kecuali Al-Quran seperti kitab tasawuf, fikah dan sebagainya kurang mementingkan unsur hiasan tetapi menekankan ilmu yang hendak disampaikan. Di samping itu, naskhah yang dibawa ke Buton akan disalin semula oleh kebanyakan ulamak yang ada di sini. Oleh yang demikian tidak menghairankan sekiranya sesebuah naskhah itu mempunyai banyak sekali salinannya. Sebuah naskhah yang paling popular dan paling banyak disalin ialah naskhah Kabanti Bunga Melati. Naskhah ini boleh dikatakan sebagai naskhah yang wajib ada pada setiap orang pada zaman itu. Naskhah ini merupakan kabanti atau nazam yang mengandungi pengajaran agama serta ajaran tasawuf untuk mendidik anak-anak menjadi orang yang berguna dan taat pada agama. Kebanyakan masyarakat pada waktu itu menggunakan kabanti ini sebagai amalan dan panduan hidup anggota masyarakat.

3.0 Naskhah-naskhah Melayu di Pulau Buton/kandungannya
Selama tiga tahun kajian dilakukan di kawasan ini naskhah-naskhah Melayu Pulau Buton dapat dikategorikan dalam 6 jenis dan ditulis dalam 4 bahasa yang berlainan. Berdasarkan jenis, naskhah-naskhah Melayu di Bau-bau boleh dibahagikan kepada:

i) kitab fikah/tauhid
ii) kitab tasawuf
iii) hikayat/salasilah
iv) ilmu ramalan/bintang
v) surat-surat raja/pembesar
vi) khutbah Jumaat/hari raya

Berdasarkan bahasa pula, kebanyakan naskhah berbahasa Melayu tetapi terdapat juga yang berbahasa Wolio, Arab dan ditemui beberapa naskhah yang ditulis dengan bahasa Bugis Makassar[13]. Kebanyakan naskhah yang ditulis dalam bahasa Wolio atau Bugis Makassar merupakan naskhah salinan daripada naskhah asal yang berbahasa Melayu atau yang berbahasa Arab. Kebanyakan pemilik naskhah memiliki kitab Martabat Tujuh dalam simpanan mereka. Kitab ini terdapat dalam keempat-empat bahasa dan paling banyak dalam bahasa Melayu. Ini disebabkan Sultan Muhammad Idrus telah mengangkat kitab ini sebagai peraturan dalam pemerintahan baginda dan tidak menghairankan ia menjadi naskhah yang paling popular dan disalin oleh kebanyakan anggota masyarakat pada waktu itu. Selain ini ajaran daripada Martabat Tujuh menjadi panduan dan pegangan serta peraturan hidup masyarakat pada waktu itu.

3.1 Naskhah-naskhah Fiqah
Naskhah berbentuk kitab fekah paling banyak ditemui di kawasan ini terutama dalam simpanan tokoh-tokoh fekah yang pernah menjadi Imam di Masjid Agung di Bau-bau. Kitab-kitab fekah yang terdapat sebahagian besarnya tidak lengkap dan banyak bahagian yang telah rosak[14]. Antara tokoh Imam yang banyak menyimpan naskhah sedemikian ialah Bapak La Umbu[15] dan Allahyarham Bapak Muchir. Kitab yang paling popular ialah Siratalmustaqim tetapi kebanyakan tidak lengkap dan banyak bahagian yang telah musnah dan tinggal cebisan-cebisan pada halaman-halaman tertentu sahaja. Antara naskhah fiqah yang ditemui ialah :

a) Raudhah al-Ikhwan fi Ibadah ar-Rahman
b) Kitab Solat
c) Kitab Fiqah Melayu dan Arab
d) Kitab Solat
e) Makrifatul Ibadat

Kebanyakan kitab fiqah yang ditemui telah hilang bahagian hadapannya dan hanya tinggal bahagian tengahnya sahaja. Berdasarkan kandungannya kitab-kitab ini membicarakan perkara-perkara yang berkaitan dengan fiqah dan hukum terhadapnya. Ia banyak merangkumi persoalan seperti sembahyang, puasa, zakat , haji dan hal-hal lain yang berkaitan dengan fiqah.

Naskhah MSS 30 misalnya merupakan kitab fiqah yang ditulis berdasarkan kitab Siratalmustaqim karangan Nuruddin al-Raniri dan juga kitab Bidayah al-Salikin karangan Syeikh Abdul Samad al-Palembangi. Naskhah ini banyak menyentuh lima hukum, iaitu wajib, sunat, makruh, harus dan haram terhadap perkara-perkara fiqah yang menjadi asas pada masyarakat Islam seperti wuduk, mandi junub, najis, taharah dan sebagainya.

3.2 Naskhah-naskhahTasawuf
Naskhah jenis ini paling banyak ditemui dan ditulis dalam empat bahasa, iaitu bahasa Melayu, Arab, Wolio dan Bugis Makassar. Naskhah-naskhah ini membicarakan pelbagai persoalan seperti akidah, pegangan agama, amalan, kepercayaan, tarikat dan sebagainya. Kitab ini bertebaran di seluruh Bau-bau dan boleh dikatakan setiap orang yang memiliki naskah pasti menyimpan naskhah jenis ini. Rata-rata pemilik naskhah jenis ini kurang memberikan kerjasama untuk membincangkan naskhah milik mereka kerana khuatir generasi sekarang/orang luar tidak dapat memahami maksud yang terdapat dalam kitab tersebut. Di samping itu mereka juga tidak mahu ilmu yang ada di dalam kitab tasauf mereka disalahgunakan untuk kepentingan peribadi[17].

Dalam naskhah yang bertajuk Makrifatul Ibadat ada dibicarakan penggunaan huruf-huruf Arab dan rahsia huruf-huruf tersebut, misalnya huruf alif menjadi hidung manusia, huruf ba menjadi bahu kanan, huruf tha menjadi bahu kiri, huruf jim menjadi lengan kanan dan huruf-huruf lain dengan pelbagai padanan tubuh manusia. Naskhah ini banyak sekali mencungkil rahsia tentang kejadian manusia, terutama kejadian golongan hawa.

Sebuah lagi naskhah bertajuk Insan Kamil juga membincangkan persoalan tasauf seperti kejadian roh, zat Tuhan, iman dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya[18]. Misalnya dalam naskhah ini ada menjelaskan erti kata puji dan ,menurut penulis kitab ini kata puji terangkum dalam empat perkara, iaitu puji Allah akan dirinya, kedua, puji hamba akan tuhannya, ketiga puji tuhan akan hambanya dan keempat puji hamba sesama hambanya.

3.3 Naskhah Hikayat/Salasilah
Naskhah yang berkaitan dengan hikayat /salasilah kurang ditemui dalam kajian dan berdasarkan katalog naskhah Buton hanya terdapat lima naskhah sahaja. Naskhah hikayat yang paling popular dalam kalangan masyarakat di Bau-bau ialah Hikayat Sipanjonga. Hikayat ini penting bagi mereka kerana dalam hikayat inilah akan ditemui leluhur jurai keturunan mereka. Menurut hikayat ini pada akhir abad ke-13 atau awal abad ke-14 Sipanjonga dengan sejumlah pengikutnya telah mendarat di Kalampa dan beliau ditemani oleh Sitamanajo, Sijawangkati, dan Simalui. Menurut hikayat ini lagi, mereka berasal dari Johor iaitu dari tempat yang bernama Lia. Mereka kemudiannya membuat penempatan dan keturunan mereka berkembang biak sehingga menjadi sebuah kerajaan. Hikayat ini juga menceritakan asal keturunan dan susur galur mereka sehingga terbentuk kerajaan Buton

Sebuah lagi naskhah yang berkaitan dengan kesultanan Buton ialah Naskhah Hikayat WaKaa Kaa dan Keturunan Raja-raja Buton. Hikayat ini mempunyai perkaitan dengan hikayat Sipanjango kerana keturunan raja-raja Buton diceritakan dalam naskhah ini. Naskhah ini dimulakan dengan:

Kitab ini peri menyatakan asal peri diturunkan Allah Taala dalam buluh gading di atas Bukit Lilingur, iaitu Wakaa Kaa namanya. Itulah raja di dalam negeri Buton. Maka Wakaa Kaa bersuami dengan Sibetara ...

Walaupun naskhah ini tidak tebal tetapi cukup lengkap jurai keturunan raja-raja Buton dari raja yang awal hingga Sultan Murhum sebagai Sultan pertama memeluk Islam. Setiap perkahwinan tokoh-tokoh dalam kerajaan Buton awal disentuh dengan terperinci dan memudahkan kita memahami asal usul seseorang raja dalam kerajaan di Buton.

Sebuah lagi hikayat yang tidak kurang pentingnya tentang kerajaan Buton ialah Kisah Raja-raja Buton. Naskhah ini bayak membincangkan jurai keturunan dan perkahwinan seseorang tokoh serta nama-nama orang tertentu dengan menggunakan dakwat merah. Secara umumnya naskhah ini lebih mirip salasiliah ketrurunan raja-raja Buton yang memerintah pada waktu itu.

3.4 Ilmu Ramalan/Bintang
Naskhah kategori ini kurang bilangannya di Bau-bau tetapi beberapa buah naskhah yang lengkap telah ditemui. Naskhah jenis ini tertulis dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Wolio. Antara tokoh yang menyimpan naskhah ini ialah bapak Tamanajo dan Bapak Musrifi. Naskhah ilmu ramalan yang paling lengkap ialah Naskhah Bintang Dua Belas yang ditulis dalam bahasa Melayu. Naskhah ini tidak sama dengan naskhah Bintang Dua Belas yang biasa ditemui iaitu huraian dari satu bahagian kepada bahagian yang lain. Naskhah ini hanya mempunyai gambar-gambar manusia dan juga jadual perkiraan serta jadual tertentu yang membincangan pelbagai perkiraan yang telah dilakukan. Huraian yang ada agak terhad pada halaman-halaman tertentu sahaja dan penulis merasakan perlu dijelaskan sesuatu dan tidak dapat dibuat jadual atau carta sebagai penjelasan. Naskhah ini juga membincangkan perkiraan hari Isnin, Selasa, Arba’a, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Sebuah lagi naskhah dalam jenis ini dimiliki oleh Bapak Tamanajo membincangkan pengiraan bulan dalam Islam dan peredaran bulan. Dalam contoh halaman tertentu ketujuh-tujuh hari yang ada ditentukan oleh peredaran bulan di sebelah kiri manakala matahari yang berwarna merah berada di sebelah kanan. Naskhah ini juga menyentuh beberapa perkara yang berkaitan dengan peredaran bulan dan bintang seperti kewujudan naga di langit. Menurut penulis naskhah ini pada bulan-bulan tertentu ia diibaratkan seekor naga seperti katanya:

Bulan Muharram, Safar dan Rabiulawal naga kepalanya ke Masyrik manakala ekornya ke Maghrib. Bulan Rabiulakhir, Jamadilawal dan Jamadilakhir naga kepalanya ke Maghrib manakala ekornya ke Masyrik. Bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan kepala naganya ke masalat manakala ekornya ke utara. Bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah naga kepalanya ke utara ekornya ke selatan.

3.5 Surat-surat Raja/Pembesar
Surat-surat lama banyak ditemui di Bau-bau tetapi hanya seorang sahaja yang menyimpan surat-surat ini. Orang yang dimaksudkan ialah Bapak Mujazi. Keadaan ini berlaku kerana Muluku Zahari, iaitu bapa kepada Mujazi merupakan seorang juru tulis bagi sultan atau Sekretaris sultan. Ini menyebabkan beliau banyak menyimpan surat-surat yang dikirim atau yang ditertima oleh sultan pada waktu itu. Selain itu, beberapa pucuk surat ditemui di Kaledupa, iaitu surat peninggalan La Gangia tetapi dalam bentuk salinan sahaja.

Mujazi banyak menyimpan surat-surat lama daripa raja-raja terdahulu dalam lingkungan abad ke-18 dan sembilan belas. Malangnya sebahagian besar surat yang beliau miliki hampir musnah dan tinggal sisa-sisa serta cebisan-cebisannya sahaja. Kebanyakan surat yang beliau miliki ialah surat menyurat antara sultan Buton dengan pegawai-pegawai Belanda.

Sepanjang kajian yang dilakukan, ditemui sepucuk surat bertarik 1791 yang telah dihantar oleh VOC dari Ujung Padang kepada Sultan Alimuddin. Surat ini panjangnya 13 halaman dan masih lagi berkeadaan baik dan tulisannya terang dan mudah dibaca[19]. Namun, pada bahagian-bahagian tertentu surat ini semakin kabur kerana tiada perawatan dilakukan terhadap surat ini. Lihat contoh surat tersebut seperti di bawah.

Surat-surat lain yang ada dalam simpanan Mujazi adalah seperti yang berikut. Bagaimanapun rata-rata surat tersebut menunggu masa untuk hancur kerana tidak terjaga. Kebanyakan surat-surat lama disimpan dalam fail-fail yang berlainan dan sesetengah surat dimasukkan dalam beg plastik untuk mengelakkan surat tersebut reput dan hancur berkecai kerana terlalu uzur. Senarai surat-surat yang terdapat di Bau-bau adalah seperti yang berikut:

a) Surat Gabenor Belanda di Ujung Padang kepada Sultan Idrus Kaimuddin I, Buton, pada 16 jan 1846.

b) Surat Pas jalan atas nama La Gangia daripada Sultan Muhammad Umar Kaimuddin IV pada 1321 Hijrah.

c) Surat Gabenor Belanda di Ujung Padang kepada Sultan Buton pada 1246 Hijrah.

d) Surat Gabenor Belanda di Ujung Padang kepada Sultan Muhammad Idrus Kaimuddin pada 2 Ogos 1853.

e) Surat daripada Mr. Peter Mayor kepada Raja Buton pada 1 Jan.1872.

Di Kalidupa[20] pula ditemui salinan beberapa pucuk surat lama peninggalan La Gangia di dalam peti simpanan barang-barang lama milik beliau. Antara surat tersebut ialah surat yang diutuskan oleh Sultan keempat yang bernama Paduka Seri Sultan Kaimuddin yang ditujukan kepada seorang Bugis yang bernama Daeng Patapu dan dua orang temannya serta tiga bilah keris Bugis sebagai tanda mereka menumpang kapal untuk ke Ujung Padang. Mereka hanya membawa peti tempat menyimpan pakaian sahaja.

Surat kedua pula penjelasan tentang keris yang terdapat bersama-sama surat di dalam peti peninggalan La Gangia. Kandungan surat tersebut menyatakan bahawa terdapat tiga bilah keris Bugis sebagai hadiah. Keris-keris ini adalah hadiah daripada surat balasan Sultan Tuan Besar Tanah Belibis (Celebes)[21] kerana menghantar dua orang jurubahasa kepada baginda. Baginda telah melayannya menurut adat orang-orang Buton. Baginda juga memaklumkan tentang penerimaan 600 Rupiah daripada gabenor.

Surat ketiga pula dikirimkan oleh Sultan Kaimuddin Keempat kepada seorang Buton yang bernama Lamlil agar berniaga ke Jawa dengan membawa pelbagai muatan seperti rotan, bingkor dan lain-lain lagi dengan menggunakan wangkang panjang.


[1] Kajian ini telah dilakukan selama 3 tahun di Pulau Buton dengan menggunakan peruntukan FRGS dan Tabung APM.

[2] Kajian yang dilakukan tidak mengambil kira koleksi Muluku Zahari kerana naskah beliau telah dikatalogkan. Tumpuan kajian adalah pada naskhah-naskhah lain yang masih terbiar, tidak dan belum dibuat kajian lagi. Naskhah-naskhah tersebut adalah milik orang perseorangan dan bertebaran di kelurahan-kelurahan di Kota Bau-bau.

[3] Kata Bau-bau berasal daripada kata bau, iaitu salah satu daripada deria hidu manusia. Berdasarkan pendapat orang-orang tua di sini kota ini berasal daripada kata ini dan tidak hairanlah kota Bau-bau juga dinamakan sebagai Kota Semerbak berdasarkan kata bau itu.

[4] Kebanyakan masyarakat Hindu di sini berasal dari Bali yang migrasi ke Bau-bau dan mereka menjalankan aktiviti penanaman padi untuk menyara hidup mereka. Menurut sejarah Hindu telah mula bertapak di Buton sejak zaman lampau lagi kerana sebelum pengaruh Islam bertapak dengan kuat di bawah Sultan Murhum, masyarakatnya beragama Hindu kerana dikatakaan Buton merupakan salah sebuah kerajaan Majapahit. Lihat Sejarah dan Adat Fiy Darul Butuni, 1977. hlm. 17.

[5] Menurut Sejarah dan Adat Fiy Darul Butun, 1977: 17, Kata gelaran raja berubah menjadi Sultan setelah raja Marhum dan pengikut-pengikutrya memeluk Islam dalam tahun 948 Hijrah atau 1511 M. Pada tahun berkenaan Abdul Wahid penganjur Islam telah datang membawa ajaran Islam ke Buton dan kononnya beliau datang dari Tanah Semenanjung Johor. Schoorl J.W. 2003:135 , pula menyatakan bahawa Kerajaan Buton memeluk Islam pada tahun 1540. Sesetengah pendapat menyatakan bahawa Islam telah bertapak di Buton pada tahun 1542. berdasarkan pendapat-pendapat ini banyak yang boleh diperkatakan tentang kedatanagan Ioslam di Buton.

[6] Di negara kita ajaran dan kitab Martabat Tujuh telah diharamkan oleh pihak berkuasa kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya. Menurut Abdul Fatah Haron Ibrahim (Utusan Malaysia, 6 Jun 2006) hlm. 21, Martabat Tujuh membicangkan asal mula kejadian alam semesta, iaitu tujuh lapis yang terdiri daripada Ahadiah, Wahdah, Wahidiah, Alam Arwah, Alam Mithal, Alam Ajksam dan Alam Insan. Menurut beliau lagi, ilmu atau akidah ini bercanggah dengan Ahli Sunah kerana golongan ini mengatakan Allah mengadakan alam semesta ini bukan daripada tiada kepada ada sebagaimana iktikad Ahli Sunah wal Jamaah sebaliknya daripada ada kepada ada.

[7] Lihat Schoorl, J.W. 1985.Belief in Reincarnation on Buton, S.E.Sulawesi, Indonesia, BK1 141: 103-134.

[8] Kajian yang dilakukan oleh pihak Belanda dan juga beberapa orang filologi Indonesia hanya bertumpu pada koleksi Mulku Zahari sahaja. Mereka tidak menjalankan kajian secara menyeluruh termasuk di Pulau Wakatobi. Berdasarkan kajian yang dilakukan di Bau-bau, bilangan naskhah yang tercatat dalam Katalog Naskhah Buton sebanyak 320 buah naskhah berbanding dengan bilangannya yang telah dimikrofilemkan oleh Arsip Nasional sebanyak 340 pada tahun 1978 dan 1984. Bagaimanapun, bilangan naskhah ini sekarang kurang daripada 100 naskhah buah dan banyak yang hilang kerana tidak dipulangkan oleh peminjamnya ataupun rosak teruk dan langsung tidak boleh dibaca.

[9] Pulau Tukang Besi kini telah ditukar namanya kepada pulau Wakatobi yang merupakan akronim daripada empat buah pulau iaitu pulau Wangi-wangi, pulau Kabaena, pulau Tomia dan pulau Binongko.

[10] Tiada catatan menunjukkan Islam telah bertapak pada abad ini dan hanya ada catatan daripada daripada teks Jawa yang dinamakan Nagarakretagama yang ditulis oleh Mpu Prapanca sewaktu kerajaan Majapahit. Catatan ini menyatakan bahawa Buton atau Butuni merupakan sebuah kampong yang mempunyai taman dan dan sistem saliran yang baik. Kawasan ini mempunyai seorang raja yang memerintah.

[11] Kitab ini ialah kitab Mujarrabat yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang pertama ditemui dan berada di Bau-bau. Kebanyakan kitab Mujarrabat yang ada telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Kitab ini diberikan nombor panggilan OB/2/AMZ dengan nama Kitab Mujarabat.

[12] Naskhah al-Makkahtul al-Musyarrafah dan al-Madinah al-Munawwarah mempunyai unsur iluminasi yang dimaksudkan di atas.

[13] Hanya dua buah kitab berbahasa Bugis Makassar ditemui di Bau-bau. Kedua-dua kitab ini menyentuh bidang tasawuf dan sufiisme. Masih banyak lagi naskhah seumpama ini di Bau-bau tetapi kandungannya hampir sama seperti naskhah-naskhah Melayu yang lain. Hanya bahasanya sahaja yang berlainan kerana masyarakat Makassar zaman lampau mempunyai sistem tulisan mereka yang tersendiri. Selain itu hubungan antara Buton dan Makassar tidak begitu baik dan mempunyai sejarah panjang sejak zaman lampau. Sering berlaku peperangan antara kedua-dua kuasa ini sehingga pihak Belanda memaksa mereka menandatangani perjanjian poerdamaian.

[14] Kebanyakan naskhah di Bau-bau menunggu masa sahaja untuk musnah kerana mereka tidak menjaga naskhah-naskhah yang ada. Antara naskhah yang paling kritikal ialah naskhah milik Bapak Mujazi di Kelurahan Melai. Walaupun naskhah-naskhah beliau telah dimikrofilemkan oleh pihak Belanda dan beberap ahli filologi Indonesia serta dibuat katalog tetapi mereka langsung tidak merawat naskhah-naskhah tersebut. Dijangkakan dalam jangka masa lima tahun lagi seluruh naskhah milik beliau akan hancur dan tidak boleh dibaca. Walaupun ada usaha untuk menyelamatkan dan memulihara naskhah-naskhah tersebut dari pihak kami tetapi sikap beliau yang tertutup menyukarkan usaha ini dilakukan. Beliau amat kuat berpegang pada amanat orang tuanya yang tidak mahu naskhah milik beliau dibawa keluar dari rumahnya walaupun untuk tujuan pemuliharaan. Sikap ortodok beliau dan beberapa orang lain inilah yang memusnahkan naskhah-naskhah Melayu di Bau-bau kerana kejahilan mereka tentang naskhah.

[15] Bapak La Umbu mempunyai banyak sekali naskhah fekah tetapi sayangnya telah rosak teruk. Beliau merupakan bekas Imam di Masjid Agung dan pakar fiqah di Bau-bau. Untuk mengelakkan ilmu fekah yang beliau miliki hilang, beliau telah menyalin semula naskhah-naskhah yang telah rosak itu dalam buku-buku bentuk baru dan disimpan untuk anak cucu beliau pada masa akan datang. Namun, usaha sebegini hanya dijalankan oleh beliau seorang sahaja.

[16] Nombor rujukan MSS 17 dalam makalah ini merupakan nombor rujukan yang digunakan dalam kajian ini . Angka 17 ialah bilangan naskhah yang dapat dicatatkan.

[17] Berdasarkan temu bual dengan informan di kawasan ini, didapati bahawa mereka lebih takut sekiranya disumpah oleh leluhur mereka daripada dihukum oleh undang-undang. Sebab itulah mereka tidak mahu banyak membicarakan tentang naskhah tasawuf yang mereka miliki.

[18] Naskhah ini dimiliki oleh Allahyarham Bapak Muchir di Kelurahan Batu Loh. Naskhah ini masih berkeadaan baik kerana ditulis di atas kertas daluang (kertas ayaman). Hanya kertasnya sahaja yang semakin gelap warnanya tetapi tulisan pada halaman naskhah ini masih jelas dan mudah di baca. Lihat gambar dihalaman sebelah.

[19] Inilah kali pertama ditemui sepucuk surat yang panjangnya 13 halaman. Setakat yang diketahui, surat yang panjang merupakan surat perjanjian tetapi surat ini ternyata bukan jenis ini tetapi surat peribadi antara Belanda dan kerajaan Buton.

[20] Kaledupa ialah pulau kedua dalam gugusan Pulau Wakatobi dan perjalanan dari Bau-bau ke sini memakan masa lebih kurang sepuluh jam dengan menggunakan kapal kayu. Dari Wanci (bandar pentadbiran di Pulau Wangi-Wangi) ke pulau Kaledupa pula memakan masa satu jam setengah sekiranya menggunakan bot laju. Jarak antara satu pulau dengan pulau yang lain begitu jauh dan faktor inilah yang menyebabkan naskhah di palau-pulau ini tidak terjaga dan terbiar begitu sahaja.

[21] Celebes atau Belibis ialah nama lama bagi Pulau Makassar .

STILISTIK NILAI ESTETIKA DALAM WARKAH

WARKAH-WARKAH SULTAN SYARIF KASIM DAN SYARIF UTHMAN DI PUNTIANAK – STILISTIK DAN NILAI-ESTETIKA[1]

PROF.MADYA DR.AB.RAZAK AB.KARIM
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
UNIVERSITI MALAYA

1.0 PENDAHULUAN: Apabila kita memperkatakan warkah-warkah Melayu banyak aspek yang boleh diketengahkan, seperti unsur ilimunasi atau seni hias, kaligrafi, kandungan warkah dan sebagainya. Warkah-warkah Melayu merupakan salah satu daripada alat penghubung antara pemerintah tempatan dengan pihak Barat sama ada pihak British, Belanda ataupun Portugis. Ia merupakan salah satu darpada alat terpenting zaman lampau dan menjadi wadah untuk menyampaikan segala keperluan pemerintah pada waktu itu.
Dalam kertas ini akan dibincangkan aspek estetika yang terdapat dalam warkah-warkah dua orang raja Puntianak, iaitu Sultan Syarif Kassim dan Syarif Uthman. Pemilihan ini dibuat berdasarkan kenyataan bahawa warkah keduorang sultan ini merupakan warkah beriluminasi atau berhias yang paling menarik di Kalimantan pada zaman itu. Jadi, kertas kerja ini akan membuktikan kenyataan ini sama ada benar atau sebaliknya.
Dengan melihat warkah pengirim seseorang penerima pasti akan sedia maklum tentang pengirim warkah berkenaan kerana warkah baginda berdua mempunyai keunikan yang tidak ada pada warkah-warkah lain. Ia sebagai jadi diri pengirim untuk mengekalkan kewibawaannya baginda sebagai raja di Puntianak pada waktu itu.

2.0 STILISTIK PENULISAN WARKAH : Apabila diperkatakan tentang stilistik warkah sultan Puntianak , beberapa perkara dapat diketengahkan dan boleh dibincangkan. Pada zaman lampau, iaitu sekitar abad ke-17 hingga abad ke-19, wujud peraturan tertentu yang menjadi panduan atau ikutan kepada pihak pengirim warkah. Ia bukanlah suatu panduan bertulis tetapi menjadi kelaziman seseorang jurutulis itu mengikut peraturan yang telah ditetapkan itu. Secara umunya, warkah sosial yang ditulis pada waktu itu mengandungi beberapa komponen, iaitu kepala surat, cap, kata puji-pujian, kandungan warkah, hadian serta penutup warkah. Ketujuh-tujuh komponen ini membina warkah tetapi dalam setiap komponen itu, ia banyak bergantung pada gaya penulisan seseorang jurutulis yang menulis warkah[2]. Di bawah ini akan dibincangkan ketujuh-tujuh komponen warkah tersebut berdasarkan gaya penulisan jurutulis di Puntianak pada waktu itu

a) Kepala dan Kandungan Surat: Berdasarkan lima pucuk warkah Sultan Syarif Kasim dan Syarif Uthman, mereka menggunakan kepala surat yang berbunyi Qawluh al-haqq wa kalamuh aal-sidq yang bermaksud Kata-Nya benar dan ucapan-Nya tulus dalam kesemua warkah baginda. Penggunaan kepala surat yang sama ini mempunyai maksud tertentu kerana sebagai seorang sultan yang berwibawa di Puntianak pada waktu itu kata-kata baginda adalah benar dan tidak ada unsur penipuan. Ini kerana baginda sering berutus warkah dengan Raffles yang berada di Melaka pada waktu itu. Dalam warkah baginda kepada Raffles pada 14 Febuari 1811, baginda telah memaklumkan kepada Raffles bahawa baginda meminta bantuan kepada beliau kerana Puntianak diancam oleh Bajau laut di bawah pimpinan sultan dan Pengiran Anom dari Sambas. Sultan Sambas telah bekerjasama dengan IIanun untuk menyerang para pedagang yang berdagang dan berniaga di Puntianak, Mempawah dan Banjar. Baginda telah memberi amaran kepada Raffles sekiranya beliau tidak mengambil apa-apa tindakan, pihak Inggeris akan terkena kesan atau tempias daripada kegiatan mereka itu. Menurut baginda:

Jika boleh dengan sebolehnya sahabat kita tolong seboleh-bolehnya kerja habis itu perompak2 dan Ilanun segala yang kerja jahat2 sama orang dagang itu, kerana kepada ketika ini semuanya ada berkumpul dalam negeri Sambas dan berkumpul di laut kuala negeri Mempawah dan Puntianak demikianlah adanya. Dan kepada kita punya fikiran jika Kampeni Inggeris tiada mau tolong kerja habis itu perompak2 itu pastilah di belakang ia kerja kembali kerja rosak sama orang putih kerana yang kita tahu ini telah tiga kali sudah Pengiran Anom beserta Sultan Sambas ini kerja jahat sama Inggeris ...

Lebih kurang sebulan kemudian, baginda mengutus lagi warkah yang bertarikh 12 Mac 1811 dan dalam warkah ini baginda Sultan Syarif Kasim telah menyatakan bahawa Pengeran Anom Sambas dan Abdul Rasyid Mentok telah merampas kapal Mistir Hare Melaka dan juga merampas sebuah wangkang dari Cina yang datang untuk berniaga di Puntianak dan Mempawah. Mereka telah merosakkan perdagangan dan mengganggu para pedagang yang keluar dan masuk berdagang. Baginda telah meminta bantuan Raffles agar sebuah kapal perang dihantar dengan segera ke Puntianak untuk menangkap pencuri-pencuri tersebut kerana mereka ada di laut Kuala Puntianak. Menurut baginda:

Maka inilah jika boleh dengan bolehnya kita minta tolong kepada sahabat kita menolong menyuruhkan sebuah kapal perang ke Puntianak menangkap si pencuri itu, dan kita pun boleh pergi bersama2 kapal perang itu menangkap si pencuri itu. Jika tiada sahabat kita segera menyuruhkan lekas2 kapal perang datang pasti ada terlalu banyak susah segala orang2 dagang yang masuk keluar berniaga di negeri Puntianak itu adanya.

Dalam warkah ketiga baginda yang bertarikh 22 Mac 1811, baginda tidak jemu-jemu memaklumkan kepada Raffles bahawa Pengiran Anom Sambas serta Abdul Rasyid Mentok telah membunuh Kapitan Ross di laut Mentok. Baginda memaklumkan sekali lagi masalah yang dihadapi oleh Puntianak akibat daripada kegiatan lanun di Puntianak.
Dalam dua bulan sahaja tiga pucuk warkah telah dihantar oleh baginda sultan Syarif kepada Raffles untuk memaklumkan bahawa Puntianak berada dalam keadaan tidak aman akibat daripada kegiatan lanun dan rompakan yang dilakukan oleh Pengeran Anom dan Abdul Rasyid Mentok. Persoalannya ialah apakah hubungan isi warkah dengan kepala surat terutama apabila diperkatakan tentang stilistik yang digunakan oleh baginda? Kepala surat yang digunakan oleh baginda menunjukkan bahawa baginda hanya menggunakan kepala surat yang sama kerana mesej baginda jelas menunjukkan bahawa apa yang baginda perkatakan dalam warkah baginda benar dan tulus serta tidak ada pembohongan yang baginda lakukan. Oleh yang demikian, kepala surat tersebut bersesuaian dengan kandungan warkah yang digunakan. Ini merupakan hubungan yang erat antara isi warkah dengan kepada surat yang digunakan oleh baginda. Walaupun terdapat 11 lagi kepala surat yang menjadi kelaziman penulis warkah gunakan namun, baginda tetap menggunakan kepala surat yang sama dalam setiap warkah baginda.
Perkara yang sama juga berlaku dalam warkah baginda yang bertarikh 6 Febuari 1814, iaitu tiga tahun kemudiannya. Dalam warkah ini ia berkaitan dengan isi warkah pertama hingga ketiga terdahulu iaitu baginda memaklumkan bahawa negeri Puntianak, Mempawah, Matan dan Sambas semuanya baik-baik belaka dan tiada lagi ilanun yang mengancam sewaktu warkah ini ditulis. Namun, baginda memaklumkan bahawa Pengeran Anom Sambas telah datang semula ke Sambas dari hulu.
Warkah sultan Syarif Uthman yang bertarikh 17 Januari 1826 kepada van de Capellan masih lagi menggunakan kepala surat yang sama seperti kekanda baginda[3]. Walaupun warkah tersebut ditujukan kepada pihak Belanda namun stilistik pemilihan kepala surat masih lagi dikekalkan walaupun pada pihak yang lain dan juga isi kandungannya berlainan sama sekali seperti yang dihantar oleh kekanda baginda. Dalam warkah ini baginda memaklumkan kepada pihak Belanda tentang Cina Mandor yang ingin berniaga di Puntianak dan baginda memohon pihak Belanda memberikan keizinan dengan cadangan baginda itu. Ini berlaku kerana rakyat baginda berada dalam kesukaran untuk berniaga. Menurut baginda:

Maka adalah kita pohonkan periksa kepada Seri Paduka sahabatnya yang maha mulia lagi bangsawan daripada hal Cina Mandor itu. Apa juga kepada fikiran Seri Paduka sahabat yang maha mulia lagi bangsawan jika belum diselesaikan kepada ketika itu, kita pohonkan biar buka perniagaan kepada Cina Mandor itu sekalian watasnya sebab segala kita punya orang kesakitan mencari makan kehidupan.

Rumusannya, pemilihan kepala surat oleh Sultan Syarif Kasim dan Syarif Uthman mempunyai kaitan dengan kandungan warkah yang hendak dinyatakan oleh pengirim warkah. Ia menjadi tradisi dan diwarisi daripada seorang sultan kepada sultan yang lain walaupun di bawah penguasaan pihak barat yang berlainan, iaitu Inggeris dan Belanda. Oleh yang demikian, pemilihan kepala surat mempengaruhi kandungan warkah seseorang pengirim itu dan ternyata bahawa kedua-dua sultan Puntianak ini mengekalkannya dalam warkah-warkah mereka.

b) Penggunaan Cap: Warkah-warkah Sultan Syarif Kasim dan Syarif Uthman mempunyai persamaan yang nyata serta cap yang paling unik berbanding dengan cap sultan-sultan lain di kepulauan Melayu. Keunikan cap baginda dapat dilihat seperti CAP 1
Dalam cap baginda Syarif Kasim, baginda menggunakan bulatan lapan segi atau dinamakan sebagai hexegon . Cap ini dianggap sebagi cap yang luar biasa dan terdapat beberapa huruf Arab digunakan. Di bahagian dalam cap baginda ini tertera frasa Al-Watiq Billah al-Haqqal Bari Abdika Wahuwa Syadid Seri Paduka al-Sultan Syarif Abdul Rahman Ibn al-marhum al-Habib al-Husein. Di bahagian luar bingkai pula tertera 42 huruf Arab yang dirumikan seperti berikut: w, h,y, a, m, h, dh, r, y, a, f, z, y, z, w, y, z, y, a, k, w, y, y, a, m, h, y, m, a, r, w, w, f, a, l, k, r, h, y, y, a, dan b. Penggunaan huruf-huruf ini ia merupakan gabungan nama-nama Tuhan , iaitu Asma al-Husnah tetapi dalam bentuk singkatan huruf-huruf awalnya sahaja. Walau bagaimanapun, ia menjadi unik kerana inilah satu-satunya cap yang menggunakan gabungan huruf-huruf Arab berbanding dalam kebanyakan warkah pemiliknya menggunakan lingkaran daun dan bunga[4].
Dalam cap Sultan Syarif Uthman pula,(CAP 2) baginda masih lagi menggunakan bentuk dan hiasan yang sama seperti kekanda baginda. Hanya bahagian dalamnya sahaja yang ditukar dan digantikan dengan nama baginda al-Sultan Syarif Abdul Rahman Ibn al-Habib al-Husain.

c) Kata Puji-pujian: Kata puji-pujian merupakan baris awal ataupun permulaan sesuatu warkah. Ia digunakan untuk menyatakan nama, gelaran dan juga alamat pengirim yang menghantar warkah. Ia melambangkan keagungan tamadun istana kerajaan Melayu pada waktu itu kerana tradisi kata puji-pujian bersumber daripada tatacara surat-menyurat Parsi pada waktu itu[5].
Berdasarkan konsep kata puji-pujian walau apapun yang diperkatakan oleh Munshi Abdullah namun ia merupakan suatu tradisi pada zaman itu. Ia merupakan suatu kelaziman yang digunakan oleh pihak Barat mahupun masyarakat tempatan apabila mereka mengutus warkah kepada pihak penerima sebagai suatu penghargaan kepada mereka. Bagi sultan Syarif Kasim, dalam puji-pujian baginda kepada Raffles, ia merupakan suatu bentuk strategi komunikasi sebagai suatu gaya bagi baginda untuk menyatakan hajat yang hendak baginda sampaikan kepada penerima warkah. Dengan penggunaan kata puji-pujian tertentu, ia sebagai permulaan bagi baginda menyatakan hajat yang terkandung dalam warkah baginda itu.
Dalam penggunaan kata puji-pujian, keempat-empat pucuk warkah sultan Syarif Kasim menunjukkan penggunan kata-kata pujian yang hampir sama tetapi terdapat sedikit perbezaan yang nyata. Dalam warkah pertama baginda menggunakan pendekatan langsung. Dalam pendekatan ini konsep waktu dieksploitasi dengan pengukuhan yang dikaitkan oleh penulis dalam bentuk kiasan sebagai sandaran terhadap pujian yang diperkatakan oleh pengirim. Frasa beberapa kasih sayang yang tiada berkesudahan selagi ada perkitaran cakrawala menunjukkan bahawa kiasan yang digunakan adalah bersandarkan pada bulan dan bintang yang sentiasa ada dan tidak pernah hilang. Inilah kaedah yang digunakan oleh Sultan Syarif Kasim dalam warkah baginda itu. Lihat penggunaan kata puji-pujian yang digunakan seperti di bawah ini.(lIHAT LAMPIRAN SURAT 1-5)

WARKAH PERTAMA
Al-Warkah al-ikhlas wa tuhfat al-ikhlas hormat mulia serta beberapa kasih sayang yang tiada berkesudahan selagi ada perkitaran cakrawala fi al-layl wa-al-nahar, iaitu daripada Seri Paduka Sultan Syarif Kasim ibn al-marhum al-Habib al-Husain al-Kadri yang bertahta kerajaan dalam negeri Puntianak barang disampaikan Tuhan seru segala alam ke hadapan Seri Paduka Thomas Raffles Esquire yang ada berhenti pada masa ini di dalam bandar negeri kota Melaka. Maka dipohonkan atasnya beroleh sihat dan afiat beserta beroleh selamat umur panjang dengan untung yang baik jua adanya. (Warkah 14 Febuari 1811)

WARKAH KEDUA
Bahawa ini Paduka Seri Sultan Syarif Kasim ibn al-marhum al-Habib al-Husain al-Kadri yang bertahta kerajaan dalam negeri Puntianak menyatakan dengan secarik warkah ini tanda sahabat bersahabat berkasih2an beserta dengan sungguh hati bersetiawan dari selama2nya kepada sahabat kita Tuan Thomas Raffles Esquire yang ada dalam negeri Melaka, maka dipohonkan atasnya beroleh sihat dan afiat serta beroleh selamat umur panjang dengan untung yang baik jua adanya.(Warkah 12 Mac 1811)

WARKAH KETIGA
Bahawa ini Paduka Seri Sultan Syarif Kasim ibn al-marhum al-Habib al-Husain al-Kadri yang bertahta kerajaan dalam negeri Puntianak menyatakan dengan secarik warkah ini tanda sahabat bersahabat berkasih2an beserta dengan sungguh hati bersetiawan dari selama2nya kepada sahabat kita Tuan Thomas Raffles Esquire yang ada beristirahat al-khair di dalam negeri Melaka maka dipohonkan atasnya beroleh sihat dan afiat serta beroleh selamat umur panjang dengan untung yang baik jua adanya.(Warkah 22 Mac 1811)

WARKAH KEEMPAT
Bahawa ini Paduka Paduka Seri Sultan Syarif Kasim ibn al-marhum al-marhum al-Habib al-Husain al-Kadri yang bertahta kerajaan dalam negeri Puntianak menyatakan dengan secarik warkah ini tanda saudara bersaudara serta dengan berkasih2an beserta dengan sungguh hati bersetiawan dari selama-lamanya kepada saudara kita yang maha mulia iaitu Tuan Seri Paduka Thomas Raffles Stamford Esquire Letnan Gubunur Jenderal, Yang Dipertuan Besar yang mempunyai takhta kerajaan dan kebesaran di dalam negeri Betawi serta segala daerah takluknya pulau tanah Jawa besar sekaliannya beserta lagi memerintahkan segala negeri di pihak timur lain2nya. Maka dipohonkan atasnya sihat dan afiat beserta beroleh selamat umur panjang beserta dengan untung yang baik jua adanya.(Warkah 6 Febuari 1814)

Dalam kesemua warkah sama ada yang dikirim oleh Sultan Syarif Kasim atau Syarif Uthman, mereka juga menggunakan kaedah doa dan berharap agar penerima beroleh sihat serta afiat, umur panjang dan mendapat keuntungan yang besar. Ia merupakan suatu gaya yang dikekalkan oleh kedua-dua pemerintah ini agar hubungan mereka dengan Raffles kekal.

d) Pemberian Hadiah: Telah menjadi kelaziman bagi masyarakat zaman lampau mengirimkan hadiah tertentu kepada penerima warkah sama ada sewaktu mengirim warkah atau membalas warkah daripada pihak pengirim[6]. Hadiah yang diberikan kepada penerima dari sekecil-kecil barang sehinggakan hamba sahaya menjadi barang pemberian untuk diterima oleh penerima warkah. Dalam setiap hadiah yang diberikan terdapat penggunaan frasa tertentu yang menunjukkan bahawa hadiah yang diberikan kepada penerima bukanlah yang terbaik tetapi cuma sumbangan kecil sahaja buat penerima. Sering kali frasa tiadalah - hanya digunakan dalam bahagian ini. Frasa ini menunjukkan bahawa hadiah yang tidak seperti itu yang diberikan oleh pengirim kepada penerima janganlah diaibkan.
Berdasarkan warkah-warkah kiriman sultan Puntianak ini terdapat dua jenis hadiah yang diberikan, iaitu hadiah yang berupa barang bukan material dan yang keduanya berbentuk material. Hadiah berbentuk bukan material ialah ucapan doa yang mengiringi penutup sesepucuk warkah. Dalam surat-surat kedua dan ketiga Sultan Syarif Kasim tidak memberikan sebarang hadiah kepada Raffles tetapi sekadar doa sahaja. Sultan Puntianak mendoakan agar Raffles, anak-anak serta isterinya panjang umur dan tabik daripada sultan banyak-banyak kepada mereka.
Dalam warkah pertama baginda yang bertarikh 14 Febuari 1811, baginda bukan sahaja mendoakan Raffles sekeluarga sihat serta umur panjang tetapi baginda telah menghantar satu tombak emas sebagai hadiah kepada Raffles. Baginda juga mengirimkan Surat Undang-undang dan Hikayat Raja Iskandar kepada Raffles kerana beliau meminta naskhah tersebut daripada Sultan Syarif Kasim. Apabila diamati ketiga-tiga pucuk warkah ini jelas menunjukkan bahawa warkah pertama terselit hadiah kepada Raffles kerana pada waktu itu keadaan belum begitu meruncing di Puntianak tetapi dalam warkah kedua dan ketiga keadaan yang tidak aman di Puntianak tidak membolehkan baginda mengirimkan sebarang bentuk hadiah ataupun cenderamata buah Raffles. Bagi baginda perkara yang lebih penting ialah kandungan warkah yang telah dibincangkan dalam bahagian terdahulu.
Dalam warkah kiriman sultan Syarif Uthman pula, baginda juga tidak memberikan sebarang bentuk hadiah berbentuk material tetapi hanya doa sahaja agar Raffles sihat dan selamat. Menurut baginda:

Kemudian daripada itu suatu pun tiada berhana al-hayat yang diiringkan kepada akhir satar ini, hanyalah kita punya tabik dan hormat juga diperbanyak2 kepada Seri Paduka[7] sahabat yang maha mulia lagi bangsawan, dan beserta lagi kita punya tabik dengan hormat diperbanyak2 kepada tuan nyonya besar. Mudah-mudahan Tuhan segala alam kasih selamat umur panjang serta di dalam sehat dan afiat jua selama-lamanya.

Rumusannya, walaupun hadiah bukanlah perkara penting yang perlu diberikan oleh pengirim namun sebagai satu budi yang luhur daripada pengirim ia tetap ditunaikan walaupun bukan dalam bentuk material. Memadailah dengan hadiah yang berupa doa untuk penerima sudah cukup menggambarkan kesopanan berbudaya di kalangan masyarakat zaman lampau.

3.0 NILAI-NILAI ESTETIKA[8]: Nilai estetika atau nilai keindahan (the beauty) mempunyai pelbagai tafsiran dan pengertian. Ia mempunyai tafsiran yang amat luas dan banyak bergantung pada seseorang itu untuk membuat tafsiran atau pandangan tentang sesuatu keindahan itu. Apabila diperkatakan keindahan dalam warkah-warkah Melayu, nilai keindahan tersebut bersangkutan dengan nilai kemanusiaan yang terjelma dalam warkah-warkah yang dikirim oleh pembesar ataupun pihak Barat kepada rakan-rakan mereka. Dalam warkah sosial, keindahan tergambar daripada aspek-aspek yang berikut:

a) Estetika Iluminasi: Iluminasi atau seni hias dalam warkah-warkah Sultan Syarif Kasim memaparkan penggunaan iluminasi penuh. Iluminasi penuh ialah hiasan ataupun corak yang memenuhi setiap ruang dalam sehelai kertas. Walaupun tidak diketahui dengan tepat tentang teknik yang digunakan pada waktu itu, namun penggunaan hiasan dalam warkah baginda menimbulkan rasa segar kepada pembaca warkah. Walaupun dalam warkah-warkah Melayu penggunaan bunga, daun yang bersambungan dan juga sulur pokok kekacang sebagai unsur terpenting hiasan mereka namun dalam warkah-warkah baginda hanya digunakan unsur sulur pada bingkai warkah dan bahagian dalam warkah terdapat penggunaan bunga cengkih dengan tiga kuntum bunga. Lihat contoh-contoh warkah 1-3 di bawah.
Dalam contoh 4 pula, bentuk iluminasi yang digunakan oleh Sultan Syarif Kasim berlainan daripada tiga warkah baginda yang terdahulu. Dalam warkah ini baginda menggunakan corak hiasan separa bulatan dengan kubah di bahagian atas dan bawah membentuk pola hiasan secara keseluruhan warkah. Bentuk ini kemudiannya bercantum antara satu sama lain dan memenuhi setiap ruang warkah kecuali bahagian yang bertulis kandungan warkah. Dalam setiap bentuk ini dipenuhi bunga cengkih tiga kuntum dengan dua helai daun yang berada dalam kedudukan menegak[9].
Dalam contoh 5 di bawah, pengirimnya Sultan Syarif Uthman pula menggunakan iluminasi sebahagian dan warkah ini dibahagikan ruang beriluminasi kepada dua bahagian, iaitu di bahagian atas dengan kepala surat dan bahagian tepi kiri dan kanan warkah. Bahagian yang hendak ditulis dibiarkan kosong tanpa sebarang bentuk hiasan. Iluminasi yang digunakan adalah bermotifkan bunga dengan pola geometrik dan disungging dengan perak dan emas. Warna perak yang digunakan menjadi kehitam-hitaman setelah beberapa lama dan menimbulkan kesan yang cukup dramatik. (LIHAT CONTOH 1-5)

b) Estetika Kepala Surat: Kepala surat ialah bahagian paling awal dalam sesepucuk warkah. Ia sering kali direka dan dibentuk dengan pelbagai bentuk menurut kemahuan seseorang jurutulis itu[10]. Walaupun kepala surat ini mempunyai makna yang tersirat namun dalam warkah-warkah Sultan Syarif Kasim baginda hanya menggunakan satu sahaja kepala surat apabila baginda berurusan dengan Raffles. Kepala surat baginda yang berbunyi Qawluh al-haqq wa kalamuh al-sidq menjadi pilihan baginda.
Namun, kepala surat baginda ini menggunakan kaligrafi yang menarik dan ditulis dalam dua dan tiga baris dengan huruf tertentu berada pada bahagian atas dan huruf-huruf lain di bahagian bawah. Lihat contoh-contoh A-C. Cara penulisan huruf-huruf tertentu yang tergantung ini menjadikan kepala surat baginda salah satu daripada yang tercantik. Perhatikan contoh-contoh kepala surat baginda seperti di bawah ini. Dalam contoh D) kepala surat ini telah berubah bentuk berbanding dengan bentuk lama yang digunakan. Pada peringkat awalnya, kepala surat yang berbentuk bujur bertukar kepada bentuk segi tiga dengan lima baris huruf-huruf tertentu disusun secara menegak dari atas ke bawah. Bagaimanapun, perlu disedari bahawa kepala surat ini perlu dibaca dari bawah ke atas dan bukannya dari atas ke bawah.
Dalam warkah Sultan Syarif Uthman pula, baginda telah menggunakan bentuk segi tiga seperti sultan Syarif Kasim tetapi huruf-huruf dalam kepala surat ini disusun dengan rapi dengan beberapa huruf seperti ﻝ (lam) dan ۱ (alif) memanjang ke atas dan selari dengan segi tiga di kedua-dua belah manakala huruf ﮎ (kaf) dan ﻝ (lam) juga memanjang di bahagian bawah segi tiga. Bentuk kaligrafi ini cukup unik dan menarik kerana huruf-huruf dalam kepala surat ini berada dalam segi tiga yang puncaknya di bahagian atas. Lihat contoh E di bawah. (LIHAT CONTOH KEPALA SURAT A-E)

4.0 PENGGUNAAN KALIGRAFI: Kaligrafi ialah bentuk penulisan huruf-huruf Arab atau Jawi dengan pelbagai gaya oleh seseorang jurutulis dengan tujuan untuk mempamerkan sesuatu objek yang diilhamkan daripada idea seseorang jurutulis itu. Walaupun dari segi sejarahnya, kaligrafi telah wujud ribuan tahun yang lalu apabila para penulis menulis nama-nama sahabat Nabi, namaTuhan dan nabi tetapi kemudiannnya seni ini berkembang pula dalam ukiran, masjid, mata wang, tembikar, batu nisan dan sebagainya. Namun, seni ini kemudiannya berkembang dan manuskrip Melayu yang menerima pengaruh Arab tidak terkecuali daripada pengaruh ini.
Tujuan utama penciptaan kaligrafi adalah untuk menimbulkan kesan keindahan untuk tatapan umum namun dalam konteks manuskrip penggunaan kaligrafi bertujuan untuk tatapan seseorang penerima warkah. Di samping itu, penggunaan kaligrafi adalah untuk mengelakkan penggunaan fauna dalam ukiran dan sebagainya kerana Islam melarang umatnya menggunakan objek fauna dalam apa jua seni hiasan. Oleh yang demikian, sebagai escapisme jurutulis mencipta pelbagai bentuk kaligrafi.
Dalam warkah-warkah sultan Puntianak ini kaligrafi yang terserlah digunakan oleh pengirim warkah terdapat pada bahagian kata puji-pujian, bahagian isi warkah dan penutup warkah. Dalam kata puji-pujian, warkah-warkah Sultan Syarif Kasim menggunakan kaligrafi dalam kata puji-pujian yang berlainan dalam keempat-empat warkah baginda seperti yang ditunjukkan dalam (KALIGRAFI 1-5)
Dalam contoh di atas, jurutulis Sultan Syarif Kasim telah menggunakan kaligrafi jenis thuluth dalam lima baris di bahagian kubah penuh manakala bahagian berkubah sebahagian huruf-hurufnya disusun dalam empat dan lima baris[11]. Huruf-huruf tersebut bergantungan dan ruang kosong antara huruf-huruf tersebut dipenuhi dengan huruf v dan tanda titik ( . ).
Dalam contoh kedua pula, kata puji-pujian yang digunakan
oleh baginda ditulis dalam kubah berbentuk bulat dan huruf-huruf tersebut ditulis antara tiga dan empat baris dengan huruf-hurufnya tergantung.
Contoh tiga dan empat memperlihatkan satu lagi gaya penulisan kata puji-pujian dalam warkah sultan Syarif Kasim. Huruf-hurufnya ditulis dalam dua baris dan ditebalkan pada bahagian ini berbanding dengan bahagian lain.
Penulisan kata puji-pujian bagi Sultan Syarif Uthman dalam contoh 5 di atas hampir sama dengan Sultan Syarif Kasim tetapi kubah yang digunakan cembung di bahagian atas dan separa cembung. Huruf-hurufnya masih tergantung dan ruang antara huruf dihiasi dengan huruf-huruf yang sama seperti sebelumnya. Kata-kata pujian yang digunakan ini terserlah dalam warkah baginda.
Penggunaan kaligrafi juga terserlah pada bahagian tertentu isi warkah, terutamanya apabila terdapat pemisahan antara isi-isi dalam warkah. Kata-kata seperti waba’ dahu atau syahdan sering digunakan dan ditulis dengan kaligrafi yang menarik serta huruf-hurufnya lebih besar serta tebal berbanding dengan huruf-huruf lain. Penggunaan kaligrafi yang dominan Ini untuk menunjukkan wujudnya perbezaan yang ketara antara isi-isi dalam warkah. Lihat contoh-contoh (LIHAT KALIGRAFI 6-8)
Contoh-contoh PENUTUP 1-3 pula menunjukkan kaligrafi yang digunakan dalam penulisan penutup warkah. Gaya penulisan bahagian ini berbeza daripada bahagian kandungan warkah untuk memperlihatkan bahagian ini merupakan bahagian akhir dan sebagai penutup atau penamat warkah.

5.0 PENUTUP: Warkah-warkah sultan Syarif Kasim dan juga sultan Syarif Uthman merupakan salah satu daripada warkah beriluminasi yang tercantik dalam koleksi British Library. Surat-surat menggambarkan kehalusan dan juga keunikan seni hias bagi masyarakat di Puntianak khususnya dan juga di Kalimantan amnya kerana amat sukar ditemui warkah yang mempunyai ilumani sedemikian. Unsur-unsur iluminasi yang digunakan adalah gambaran tentang ketinggian mutu seni masyarakat setempat yang tidak ada nilai bandingannya kini. Banyak lagi unsur lain yang dapat diperkatakan berdasarkan warkah ini dan kajian lanjut perlu dilakukan.

BIBLIOGRAFI
@Abdullah bin Abdul Kadir, 1932. Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir, Jil. 1 (Malay Literature Series, 4) Singapura: Malay Publishing House.
@Ab. Razak bin Ab. Karim, 2006 Warkah-warkah Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur
@Ab. Razak bin Ab. Karim, 2000, Penggunaan Cap Mohor dalam Warkah Melayu Lama: Satu Tinjauan Aspek Penggunaan Bahasa”, dlm. Jurnal Filologi Bil.7 thn. 2000 Perpustakaan Negara Malaysia.
@Ab. Razak bin Ab. Karim, 2000, Kesopanan Berbahasa Dalam Warkah Melayu Lama”, dlm. Jurnal Dewan Bahasa, Disember 2000.
@Ab. Razak bin Ab. Karim, 2001, Penggunaan Kaligrafi Dalam Penulisan Warkah-warkah Melayu: Satu Kajian”, dlm. Jurnal Filologi Jilid 9 thn. 2001, Perpustakaan Negara Malaysia.
@Ab. Razak bin Ab. Karim, 2002, Aspek Penggunaan Bahasa Dalam Warkah-warkah Melayu Lama: Satu Kajian, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
@Ab. Razak bin Ab. Karim, 2002, “Warkah Raja-raja Melayu” dlm. Warisan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia: Kuala Lumpur.
@Ab. Razak bin Ab. Karim, 2004, “Nilai-nilai Estetika Dalam warkah Melayu”, dlm Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, Disember 2004.
@Ab. Razak bin Ab. Karim, Iluminasi dan Kaligrafi Dalam Warkah-Warkah Melayu dlm. Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu-Melestarikan Manuskrip Melayu Warisan Agung Bangsa pada 10-11 Julai 2006, Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
@Ab. Razak bin Ab. Karim, 2001 (b). “Warkah-warkah Perjanjian Melayu Lama: Suatu Analisis Genre” dlm Seminar Kesusasteraan dan Undang-undang anjuran Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 26-27 Julai.
@Gallop, Annabel The & Arp. Benard, 1991. Golden Letters” Writing Traditional of Indonesia, London: The British Library/yayasan Lontar.
@Gallop, Annabel The & Arp. Benard, 1992. The Art of Malay Letter Part I: Malay Seal. Workshop on Southeast Asian Manuscripts, Leiden, KITLV.
@Gallop, Annabel The & Arp. Benard, 1994. The Legacy of Malay Leters: Writing Traditions of Indonesia. London: The British Library.
@Mahayudin Hj. Yahaya, 1987. Ensiklopedia Sejarah Islam, Jilid III L-O Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
@Mahmud Yunus, 1973. Kamur Arab-Indonesia, Jakarta: Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Quran.
@Muhammad Idris Abdul Rauf al-marbawi, 1304 H. Kamus Idris Al-marbawi Arab-Melayu, Singapura: Pustaka Nasional.
@Tengku Luchman Sinar, 1998. “Jati Diri Melayu” dlm Pengajian Sastera dan Sosiobudaya Melayu Memasuki Alaf Baru, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
@Wilkinson, R.J., 1995. A Malay-English Dictionary Part I, London: MacMillan & Co. Ltd.
@Wilkinson, R.J, 1959. A Malay-English Dictionary Part II, London: MacMillan & Co. Ltd.

[1] Kajian yang dilakukan adalah menumpukan pada warkah-warkah Sultan Syarif Kasim dan Syarif Othman sebanyak lima pucuk surat sahaja. Ini kerana dalam koleksi warkah-warkah Melayu, kedua orang sultan ini yang banyak membuat hubungan dengan Raffles disebabkan huru-hara yang berlaku di Pontianak pada waktu itu.
[2] Antara seorang jurutulis dengan jurutulis yang lain terdapat kelainan yang jelas walaupun umumnya mematuhi peraturan surat-menyurat zaman itu.
[3] Selepas tahun 1824, apabila Perjanjian Inggeris Belanda ditandatangani, pembahagian kuasa berlaku dan Pontianak berada di bawah pemerintahan pihak Belanda. Oleh yang demikian, Sultan Syarif Othman telah mengutus warkah kepada Van de Capellan dan bukannya kepada Raffles lagi.
[4] Lihat artikel “Penggunaan Cap Mohor dalam Warkah-warkah Melayu Lama; Suatu Tinjauan Aspek Penggunaan Bahasa” dlm.Jurnal Fillologi Melayu,Jilid 7, 1999. hlm. 1-7. Perpustakaan Negara Malaysia.
[5] Munshi Abdullah (1843) “Kebodohan Puji2an yang tersebut dalam surat2 kiriman orang Melayu” menyatakan dengan tegas bahawa kata puji-pujian yang digunakan tidak mendatang faedah terutama warkah yang dihantar kepada pihak Barat. Menurut beliau kata puji-pujian tersebut tidak dibaca oleh mereka dan ini membuang masa sahaja. Menurut beliau lagi:

Pertama2 puji2an yang besar2 dengan menyebutkan nama Allah dan rasul dan malaikat matahari bulan dan bintang dan cakrawala dan segala perkara yang besar2 di langit dan gelaran yang bukan2,maka adalah seolah2 orang yang dikirimkan surat itu bukannya daripada bangsa manusia seperti kita ini.

[6] Hadiah yang diberikan kepada penerima warkah terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu:
a) binatang
b) makanan dan minuman
c) barang hiasan
d) manusia
e) barangan lain
Setiap jenis hadiah ini boleh diperincikan dan lihat Warkah Melayu Lama, 2006, hlm.16-17.
[7] Kata gelaran ini hanya digunakan oleh Raffles sahaja setelah beliau dianugerahi kata gelaran ini oleh Sultan Aceh Seri Paduka Sultan Alauddin Johar al-Alam Syah Johan kepada Raffles pada 27 April 1811. Dalam warkah tersebut sultan Aceh menyatakan bahawa:

“Suatu pun tiada burhan al-hayat hanya cap akan tanda sahlah sahabat bersahabat dengan beta. Itulah cap beta bubuh nama hulubalang empat yang besar dengan destar semuanya dengan baju sekui, dengan tengkolok lipat dua, dengan kain seperti hulubalang yang besar2 telah dibubuh nama Seri Paduka Orang Kaya Berpedang Emas telah dikurniakan nama itu di negeri Aceh bandar Darussalam akan Thomas Raffles Esquire”.

[8] nilai estetika hanya tergambar dengan jelas dalam warkah sosial sahaja manakala dalam warkah cit, dan warkah perjanjian unsur ini tidak kelihatan. Keadaan ini berlaku kerana warkah cit dan perjanjian tidak menggambarkan unsur intim antara pengirim dan juga penerima warkah. Ia lebih bersifat formal dan melibatkan pemerintah antara dua buah negara.
[9] Lihat makalah “Iluminasi dan Kaligrafi Dalam Warkah-warkah Melayu” dlm. Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu pada 10-11 Julai 2006, Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
[10] Berdasarkan kajian yang dilakukan, terdapat pelbagai bentuk kepala surat yang digunakan oleh seseorang jurutulis itu. Lihat artikel “Nilai-nilai Estetika Dalam warkah Melayu”, dlm Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, Disember 2004.
[11] Bentuk kubah yang digunakan oleh Sultan Syarif Kasim ini mempunyai persamaan dengan warkah Temenggung Abdul Rahman kepada Raffles di Bengkulu pada 23 Ogos 1824.

Kaligrafi 1

Kaligrafi 1

Kaligrafi 2

Kaligrafi 2

Kaligrafi 3

Kaligrafi 3

Kaligrafi 4

Kaligrafi 4

Kaligrafi 5

Kaligrafi 5

Kaligrafi 6

Kaligrafi 6

Kaligrafi 7

Kaligrafi 7

Kaligrafi 8

Kaligrafi 8

Penutup 1

Penutup 1

Penutup 2

Penutup 2

Penutup 3

Penutup 3

STRATEGI KOMUNIKASI & KESOPANAN BERBAHASA

STRATEGI KOMUNIKASI & KESOPANAN BERBAHASA DI KALANGAN MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL: KAJIAN BERDASARKAN WARKAH-WARKAH MELAYU LAMA
Profesor Madya Dr. Ab. Razak Ab. Karim
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya

Pengenalan
Makalah yang serba ringkas ini akan membincangkan bentuk-bentuk strategi komunikasi dan jenis-jenis kesopanan yang diamalkan oleh masyarakat zaman lampau apabila mereka mengadakan komunikasi sesama mereka. Semasa mereka berkomunikasi terdapat beberapa strategi yang digunakan tanpa mereka sedari di samping pelbagai kesopanan tergambar dalam sesuatu komunikasi itu. Dalam masyarakat Melayu lama, kedua-dua perkara ini akan dibincangkan berdasarkan warkah-warkah Melayu kerana warkah Melayu dapat menggambarkan pelbagai strategi dan bentuk kesopanan yang digunakan.[1] Tambahan pula warkah merupakan salah satu daripada alat komunikasi yang terpenting pada zaman lampau berbanding dengan bentuk lain.
Bagi masyarakat zaman lampau, warkah merupakan salah satu alat penghubung dan alat menjalinkan silaturrahim antara dua pihak yang terlibat, sama ada pihak barat ataupun antara pembesar dengan pembesar ataupun antara sultan dengan sultan. Oleh yang demikian, mereka tidak terikat dengan situasi formal sewaktu penulisan warkah. Ini akan dapat menggambarkan situasi sebenar budaya dan strategi komunikasi yang digunakan.

Strategi Komunikasi
Berbagai-bagai konsep digunakan oleh para pengkaji tentang strategi komunikasi. Bagaimanapun, pendekatan yang digunakan oleh Asmah Hj. Omar (1995) tentang konsep strategi komunikasi yang berkaitan dengan masyarakat Melayu cukup sesuai digunakan. Menurut beliau strategi komunikasi ialah cara-cara yang digunakan oleh pameran-pameran (participant) yang terlibat dalam sesuatu peristiwa bahasa (speech event) untuk mendapatkan maklumat, penjelasan yang lebih lanjut, untuk memastikan komunikasi berterusan dan sebagainya daripada pameran yang lain.
Dalam masyarakat Melayu tradisional berdasarkan warkah-warkah Melayu, terdapat dua jenis teknik komunikasi yang digunakan, iaitu teknik langsung dan teknik tak langsung. Teknik langsung ialah teknik yang digunakan oleh seseorang untuk meminta atau memberikan sesuatu maklumat secara terus terang tanpa berselindung manakala teknik tak langsung ialah kebalikan daripada teknik langsung yang telah dinyatakan tadi. Penutur tidak menyatakan sesuatu secara terus terang tetapi menggunakan pelbagai bentuk ungkapan seperti peribahasa, bidalan dan sebagainya untuk menyatakan sesuatu itu. Dalam warkah-warkah Melayu teknik tak langsung dan teknik langsung terpapar dalam bahagian tertentu warkah, iaitu di bahagian kata puji-pujian, kandungan warkah dan bahagian prapenutup warkah.[2]

Teknik Tak Langsung
Tujuan utama teknik tak langsung digunakan oleh penutur masyarakat Melayu adalah sebagai suatu landasan kepada seseorang penutur/pengirim menyatakan sesuatu maksud sebenar secara berselindung dan tidak dengan terus terang. Menurut Asmah Hj. Omar (1992:175-186) masyarakat Melayu menggunakan empat teknik tak langsung dalam sesuatu komunikasi, iaitu “beating about the bush” atau singkatannya BAB, kiasan, mengatakan hal yang sebaliknya dan penggunaan orang perantaraan.
Dalam teknik BAB seseorang penutur itu akan memperkatakan sesuatu perkara lain yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang hendak diperkatakan. Ia merupakan suatu kebiasaan bagi masyarakat lampau dan sehingga kini teknik ini masih segar dalam penggunaannya di kalangan masyarakat kita. Penggunaan unsur ini merupakan suatu kaedah pembuka komunikasi atau permulaan sesuatu ucapan sebelum sesuatu perkara yang sebenarnya hendak diperkatakan. Bentuk kiasan pula merupakan suatu teknik lain, iaitu penutur memperkatakan sesuatu secara langsung tetapi mesej sebenarnya adalah berselindung di sebalik kiasan yang digunakan seperti unsur alam semula jadi ataupun keindahan alam yang lain. Dengan cara ini mesej yang disampaikan terselindung di sebalik ungkapan kiasan yang digunakan itu. Penggunaan bentuk kiasan oleh penutur adalah bertujuan agar pemeran yang ditujukan kata-kata tersebut berfikir sejenak tantang mesej yang disampaikan oleh penutur itu. Dalam teknik penggunaan bahasa yang sebaliknya atau bahasa terbalik mesej yang disampaikan adalah bertentangan dengan apa yang diperkatakan manakala penggunaan orang perantaraan melibatkan pihak ketiga untuk menyampaikan sesuatu mesej yang diperkatakan oleh orang pertama.
Berdasarkan penelitian warkah-warkah Melayu lama, bentuk strategi komunikasi tak langsung yang sering kali digunakan oleh masyarakat zaman lampau ialah teknik mengatakan hal sebaliknya. Dalam teknik ini mesej yang disampaikan dalam keadaan mesra antara pengirim dan juga penerima warkah. Teknik mengatakan hal sebaliknya digunakan oleh masyarakat zaman lampau adalah bertujuan antara lain untuk mengelakkan penutur berasa bangga diri atau mementingkan diri sendiri kerana bagi masyarakat zaman lampau sikap yang sedemikian adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan juga budaya Melayu yang tidak diterima oleh masyarakat umum. Penggunaan teknik ini digunakan dengan meluas sekali dalam warkah Melayu terutama dalam bahagian prapenutup warkah. Penggunaan teknik ini mudah dikenali dengan penggunaan kata tiadalah – hanyalah yang mempunyai maksud bukan setakat tiada tetapi sebenarnya pengirim menyatakan ada hadiah yang diberikan kepada penerima. Amati contoh-contoh yang dikutip daripada beberapa pucuk warkah Melayu seperti yang berikut:

Kemudian daripada itu suatu pun tiada alamat al-ikhlas daripada kita hanyalah doa daripada tiap-tiap hari malam[3]....
Maka tiadalah suatu cenderamata hanyalah kain besar sepasang akan anak kita dan lagi sehelai kain besar kepada sahabat kita
[4]....
Suatu pun tiada hanyalah burhan al-wujud wa-dalil al-hayat hanya tanda putih hati sahaja serta atulus dan ikhlas kita umpama sampah di tengah jalan kiriman kita kepada sahabat kita tombak dua batang, kasut suasa satu dan kasut perak satu
[5]...
Maka suatu pun tiada apa2 tanda hidup hanyalah budak perempuan dua orang serta kain sehelai itulah adanya.

Dalam contoh-contoh di atas, pengirim warkah menyatakan bahawa dia tidak mempunyai sebarang benda atau hadiah untuk diberikan kepada penerima sebagai bentuk mengatakan hal sebaliknya tetapi dalam frasa yang berikutnya pengirim menyatakan pula jenis hadiah yang diberikan kepada penerima sebagai maksud sebenar yang ingin disampaikan. Dalam contoh-contoh di atas, hadiah yang ingin diberikan oleh pengirim terdiri daripada doa, sehelai kain besar, tombak dua batang, kasut suasa dan perak serta dua orang budak perempuan.

Teknik Langsung
Teknik ini paling banyak digunakan dalam warkah Melayu sebagai salah satu strategi komunikasi di kalangan masyarakat Melayu lama. Ini kerana maklumat yang hendak disampaikan tidak perlu berselindung tetapi secara terus terang. Tujuan utama teknik langsung adalah untuk memaklumkan dan memperkenalkan pengirim serta memuji diri penerima warkah.[6]
Dalam warkah-warkah Melayu, pengirim akan mengiklankan dirinya dan memuji penerima dengan penggunaan konsep ruang yang tidak terhad. Pengirim gemar menggunakan konsep ruang yang sering kali tidak diterima akal demi untuk memuji penerima warkah, misalnya penggunaan frasa seluruh pelosok, di mana-mana di masyrik dan maghrib dan di barat serta di timur. Amati contoh yang di bawah ini.

Surat tulus ikhlas serta kasih sayang daripada beta Seri Maharaja Saudagar, barang disampaikan Tuhan seru sekalian alam apalah kiranya kepada sahabat Mister Erskine yang arif bijaksana pada hal menolong handai taulan hina gah masyur ke mana-mana.[7]

Bagi pengirim pula bukan setakat memuji penerima, pengirim juga perlu mengiklankan dirinya kerana konsep mengiklankan diri mereka penting agar status mereka tidak dipandang terlalu rendah berbanding dengan penerima warkah. Dalam kajian yang dilakukan, Sultan Iskandar Muda dari Aceh telah menghantar surat kepada Raja James I pada tahun 1615. Dalam warkah baginda ini kata-kata pujian terhadap dirinya begitu banyak sekali dan 2/3 daripada kandungan warkah ini memuji diri baginda.[8] Sesetengah daripada kata puji-pujian terhadap diri baginda tidak masuk akal namun tetap digunakan dengan tujuan agar diri baginda dipandang tinggi oleh Raja James I di England. Antara kata pujian terhadap diri baginda yang digunakan adalah seperti yang berikut:

..dalam takhta kerajaan yang tiada terlihat oleh penglihatan, yang tiada terdengar oleh penengar, yang bermahligai gading, berukir berkerawang, bersendi bersindura, berwarna sedalinggam, yang berair emas, yang beristana sayojana, yang bersungai berikat batu pelinggam, yang umpama cermin sudah terupam, yang berpancuran emas bepermata beberapa daripada pancuran perak...

Bagi sultan yang lain pula teknik mengiklankan diri tidak dibuat secara berlebihan tetapi dengan kadar tertentu, misalnya dengan menyatakan kerajaan pemerintaan dan juga keadaan lain yang umum sifatnya, misalnya:

... daripada kita Seri Paduka Litnan Gupernur yang ada mempunyai perintah dan kebesaran di dalam negeri Betawi serta dengan segala daerah takluknya negeri Pulau Jawa sekaliannya daripada jalan menolongi pada segala raja-raja yang besar-besar...[9]

Pengiklanan diri oleh pengirim warkah terhadap penerima bukan sahaja terhad pada konsep ruang tetapi juga pada penggunaan konsep waktu. Dalam konsep waktu, pengirim akan menyatakan sifat-sifat pengirim dan pujian yang berkaitan dengan konsep ruang seperti tidak mudah berubah, kekal lama dan sebagainya.
Sering kali frasa hingga akhir mutakhirin, tiada berkesudahan, tiada berhingga, tiada berkeputusan, selama-lamanya dan tiada berubah banyak sekalli ditemui dalam warkah-warkah Melayu. Ia seolah-olah sebagai suatu frasa yang cukup terkenal di kalangan jurutulis pada waktu itu. Amati contoh-contoh di bawah ini.

.. hormat mulia serta beberapa kasih sayang yang tiada berkesudahan selagi ada perkitaran cakrawala...[10]
Warkah al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang disertakan dalamnya tulus ikhlas sayang muafakat yang tiada berkeputusan selagi ada cakrawala...[11]
warkah al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang dipesertakan di dalamnya tulus dan ikhlas serta suci hati yang tiada berhingga dan masa....[12]

Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa pengirim menggunakan penilaian waktu bagi menggambarkan bahawa penerima mempunyai sifat tertentu seperti suci hati yang tidak terhingga hingga akhir zaman ataupun kasih sayang yang selama-lamanya. Untuk mengukuhkan lagi pujian tentang konsep waktu yang doberikan pada penerima, pengirim akan menambah unsur penguat iaitu unsur alam sebagai bentuk kiasan kerana unsur alam akan menjadi sandaran tentang pujian yang diperkatakan oleh pengirim kepada penerima. Sering kali frasa selagi ada peredaran cakerawala, matahari dan bulan digunakan selepas pujian yang diberikan. Perhatikan contoh-contoh di bawah ini.

Warkah al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang dipersatakan dalamnya tulus dan ikhlas serta suci hati yang tiada berhingga dan ikhlas serta suci hati yang tiada berhingga dan masa selagi ada peredaran matahari dan bulan...[13]
Bahawa ini surat tulus dan ikhlas suci putih hati hening dan jernih yang tiada cemar dalamnya selagi ada peredaran cakrawala bulan dan matahari iaitu daripada Encik Pandak...[14]
Tulus ikhlas kasih sayang yang tiada berputusan dan tiada berkesudahan selagi ada peredaran cakrawala matahari dan bulan, iaitu daripada Yang Dipertuan Kelantan.....
[15]

Dalam kaedah langsung ini banyak lagi jenis kata pujian yang digunakan oleh pengirim seperti kaedah doa, kaedah penceritaan semula, penilaian kehandalan dan sebagainya yang bertujuan untuk memuji pengirim dan juga penerima warkah. Tujuannya adalah untuk menunjukkan sifat-sifat tertentu yang dimiliki oleh pengirim atau untuk menyanjung pihak penerima warkah.

Kesopanan Berbahasa
Kesopanan berbahasa ialah peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh budaya dalam sesebuah masyarakat apabila berlakunya sesuatu komunikasi antara anggota-anggota masyarakat. Sekiranya pemeran yang melanggar norma berbahasa yang telah ditetapkan, ia dikatakan tidak tahu berbahasa dan kesopanan berbahasa boleh dilihat daripada aspek tingkah laku masyarakat penutur bahasa ataupun aspek-aspek bahasa yang dituturkan. Dalam aspek tingkah laku seperti bahasa badan memainkan peranan penting manakala dalam aspek bahasa pula pemilihan kata atau ayat akan menggambar sama ada seseorang itu memnuhi norma budaya bahasa tersebut. Dalam konteks warkah-warkah Melayu, aspek tingkah laku tidak dibincangkan kerana ia melibatkan pemeran yang tidak bersemuka tetapi budaya bahasanya dapat diukur hanya berdasarkan penggunaan bahasanya sama ada sopan ataupun tidak.[16]
Dalam masyarakat Melayu tradisional, terutama masyarakat yang digambarkan dalam warkah-warkah Melayu kesopanan berbahasa di kalangan masyarakat dapat diukur berdasarkan pendekatan yang digunakan oleh Dell Hymes (1974). Menurut beliau, ada empat faktor yang menjadi penentu kesopanan penggunaan bahasa di kalangan masyarakat berdasarkan “siapa yang bercakap dengan siapa, di mana, mengapa dan bagaimana”. Di bawah ini akan dibincangkan setiap satu faktor yang diutarakan oleh Hymes dan akan diberikan contoh-contoh untuk mengukuhkan pandangan beliau ini.
Apa berkaitan dengan tajuk atau perkara yang hendak diperkatakan antara dua orang pemeran yang terlibat. Dalam kes warkah sosial ia melibatkan pihak pengirim warkah dengan penerima warkah dan perkara yang sering di perkatakan antara pemeran yang terlibat mencakupi pelbagai aspek dari yang seremeh-remehnya hinggalah menyentuh aspek keselamatan dan perekonomian. Dalam warkah Melayu tajuk atau isi yang sering diperkatakan ialah masalah politik, seperti pemerintahan, rampasan kuasa, perang saudara dan sebagainya, perdagangan, pengiktirafan seseorang sebagai raja pembayaran cukai dan sebagainya.[17] Kandungan warkah yang berlainan ini mempengaruhi pemilihan kata yang digunakan oleh pengirim warkah kepada penerimanya. Di samping itu faktor siapa juga memainkan peranan penting dalam warkah. Siapa merujuk oranng yang bercakap dan dalam kes ini antara pengirim warkah dan penerima warkah ini penting kerana penggunaan kata ganti nama akan menentukan taraf sosial antara kedua-dua pihak yang terlibat. Dalam warkah yang dikirim oleh Raffles kepada Tunku Pengiran Siak pada 19 Disember 1810, banyak terdapat penggunaan kata-kata yang berkaitan dengan soal perjanjian dan keselamatan kerana kandungan utama warkah ini menyentuh soal keselamatan dan kuasa Inggeris di Siak. Surat ini juga dimulakan dengan isi tanpa sebarang bentuk puji-pujian seperti surat yang lain memandangkan apa yang diperkatakan dalam warkah ini menjadi fokus utama penerima warkah. Surat ini juga memaparkan nada yang tegas dan formal berbanding surat-surat lain Amati contoh kandungansurat baginda seperti di bawah ini.

Hendaklah ketahui kepada segala raja-raja yang besar-besar di dalam negeri Jawa yangn melihat surat ini dengan cap Gurnur Jeneral di Benggala beta gantikan daripada beta Tunku Pengiran Sukma Dilaga Siak, ia mau masuk di dalam negeri Jawa bicarakan dengan raja-raja mana-mana mau menjadi sahabat betul sama dengan Kompeni Inggeris seperti pasal yang tersebut di bawah ini. Pasal yang pertama. Maka sudah dapat khabar kepada Gurnudur Jeneral di Benggala ada banyak susah raja-raja di dalam tanah Jawa....

Dalam contoh yang kedua pula perkara yang diperkatakan oleh pengirim warkah berlainan daripada yang pertama dan penggunaan kata gelaran juga menunjukkan hubungan antara pengirim dengan penerima warkah begitu akrab.

Salam serta berapa doa daripada adinda Siti Sabariah Cahaya Alam datang kepada hadrat kekanda Dewa Raja yang di dalam pelihara Dewata Mulia Raya dan lagi baik budi bahasa pada segala handai taulan lagi banyak akal sempurna. ... Jika kekanda hendak menengar khabar adinda tanyalah kepada k-w b-t supaya diceteranya segala hal ehwal adinda lebih daripada surat[18]

Dalam contoh ketiga pula dapat dilihat penggunaan kata ganti nama yang berlainan dan bersifat mesra digunakan antara pengirim iaitu Sultan Aceh dan penerimanya Raffles. Penggunaan kata ganti nama yang berlainan atau kata gelarannya adalah berdasarkan hubungan antara pengirim dan juga penerima warkah. Lihat contoh di bawah:

Ammaba’dahu adapun kemudian hari itu maka inilah al-waraqah al-mukarramah wa-al tuhfah al-mu-azzamah yang diiktihamkan kepada seorang antusan membawa warkah itu dengan selamat sempurna sampai kepada sahabat beta Seri Paduka Thomas Raffles yang ganti Gurnadur Jeneraldi Benggala, iaitu Seri Paduka Maharaja Gilbert Elliot Lord Minto Yang Dipertuan yang maha mulia.[19]

Di mana berkaitan dengan latar belakang sesuatu perbincangan atau peristiwa bahasa yang berlangsung dan menimbulkan perbezaan aspek bahasa yang digunakan. Dalam hubungan ini, latar penulisan warkah berhubung kait dengan masyarakat Melayu tradisional yang menggunakan istana sebagai pusat aktiviti penulisan warkah. Bagi pihak barat pula terutama Inggeris dan Belanda, latar penulisan warkah ialah di alam Melayu dan mereka perlu mematuhi peraturan penulisan warkah kerana masyarakat pada waktu itu tidak akan menerima warkah yang tidak mematuhi peraturan yang telah ada pada waktu itu. Faktor inilah yang menyebabkan banyak warkah Inggeris atau Belanda kepada sultan, raja atau pembesar Melayu menggunakan baahsa Melayu dan gaya penulisan warkah dan mempunyai nilai-nilai Melayu disebabkan oleh latar tempat warkah tersebut tertulis. Lihat contoh-contoh di bawah ini antara warkah-warkah yang dikirim oleh pegawai-pegawai Belanda dan Inggeris serta raja-raja tempatan.
Warkah de Klerk di Betawi kepada Sultan Muhammad Bahuddin di Palembang pada 15 Ogos 1782 (Belanda)

Bahwa Gurnur Jenderal Raynier de Klerk beserta sekalian Raden pan India berkirim surat tulus ikhlas ini kepada sahabat seperjanjinya Paduka Seri Sultan Ratu Muhammad Bahauddin, raja atas takhta kerajaan Palembang, dimohonkan atasnya sehat dan afiat beserta daulat dan segala berkat yang dapat membahagiakan yang maha mulia beserta rakyatnya. Istimewa sahabat bersahabat pada antara Kompeni Wolandia dengan Tuan Sultan boleh tinggal tetap dan teguh hingga zaman yang mutakhirin adanya.

Warkah W. Farquhar kepada Datuk Bendahara Pahang pada 13 Jun 1819 (Inggeris)

Waba’dahu daripada itu maka adalah kita berkirim sepucuk surat kepada tangan Panglima Perang sahabat kita, menyatakan kasad dan maksud kita hendak bertemu dengan sahabat kita, dan mengatakan Tuan Besar Gabenor Bengkulu akan datang ke negeri Singapura dalam bulan Syaban ini.

Warkah Raja Ambon di Makassar kepada East India Company pada 23 May 1658 (Raja tempatan)

Salam doa yangn dihias daripada Kimelaha Salahak yang di atas takhta kerajaan tanah Ambon serta takzim dan takrim datang kepada Gurunadur Kompani dan Kompani yang dipeliharakan Allah subhanahu wa taala di pada tiap-tiap masa dan ketika, lagi bertambah2 sahabat dan sejahtera tawal Allah umrah wa rada fikalbu daulat wa hasanah berkat Muhammad min la nadi badahu amin rabbu al-alamin.

Mengapa berkaitan dengan tujuan sesuatu tujuan ucapan disampaikan sama ada untuk menyampaikan maklumat ulasan ataupun sebagainya. Dalam warkah Melayu tujuan warkah dihantar adalah disebabkan oleh pelbagai tujuan sama ada tujuan politik, perekonomian, perdagangan ataupun hal-hal yang bersifat peribadi. Setiap warkah yang dihantar oleh pengirim mestilah mempunyai sebab-sebab tertentu kerana tanpa sebarang tujuan seseorang pengirim warkah tidak akan menghantarnya kepada penerima. Oleh yang demikian, tujuan warkah ditulis berkaitan dengan faktor apa yang diperkatakan oleh pengirim warkah. Kedua-dua faktor ini saling berkaitan antara satu sama lainnya.
Bagaimana dikaitkan dengan cara sesuatu saluran itu disampaikan sama ada secara bersemuka, melalui telefon atau sebagainya. Dalam konteks ini saluran yang digunakan untuk menyampaikan maklumat ialah dengan cara penulisan warkah atau seseorang itu mengutus warkah kepada individu tertentu. Dalam bentuk tulisan inilah segala maklumat akan disampaikan kepada pihak yang satu lagi dan bentuk inilah akan menentukan penggunaan bahasa menggantikan bahasa lisan yang dituturkan oleh pengirim warkah.

Hubungan Strategi Komunikasi dan Kesopanan
Strategi komunikasi dan kesantunan berbahasa mempunyai hubungan yang cukup erat kerana dalam strategi komunikasi terdapat ciri-ciri kesopanan melalui tingkah laku penutur dan juga tutur kata yang sopan yang digunakan dalam sesuatu komunikasi itu. Untuk melihat hubungan ini terdapat beberapa faktor dalam strategi komunikasi yang menandakan kesopanan. Faktor-faktor tersebut ialah:

Perkaitan peranan
Perbezaan taraf sosial
Kewujudan kuasa
Menjaga air muka


Faktor-faktor ini akan dibincangkan di bawah ini beserta dengan contoh-contohnya sekali.

Perkaitan Peranan : Perkaitan peranan berkait dengan pemeran-pemeran yang terlibat dalam surat menyurat dan peranan masing-masing sewaktu surat menyurat berlaku. Dalam masyarakat Melayu tradisional, sultan, raja atau pembesar mempunyai peranan penting dan bagi pihak Barat pula Inggeris dan Belanda juga mempunyai peranan masing-masing. Oleh yang demikian, peranan jurutulis bagi pihak Barat atau sultan Melayu, amat penting kerana merekalah yangn akan mendraf surat dan menentukan segala ketetapan fakta yang disampaikan kepada penerima memenuhi cita rasa pengirim. Pengirim hanya memaklumkan isi-isi yang hendak disampaikan manakala jurutulis yang akan menulis mengikut kehendak pengirim. Oleh sebab itu, peranan yang dimainkan oleh jurutulis cukup besar dan mereka merupakan orang tengah antara dua pihak yang berhubung melalui warkah.

Perbezaan Taraf Sosial : Perbezaan taraf sosial antara pengirim wujud dalam penulisan warkah Melayu dan pemeran sedar akan kewujudan faktor ini. Mereka sedar bahawa antara pengirim dan penerima warkah terdapat jurang sosial walaupun mereka tidak bersemuka. Jurutulis sedia maklum bahawa di kalangan masyarakat Melayu terdapat pangkat sosial yang berlainan dan diterima oleh masyarakat Melayu dalam sistem politik mereka.
Dalam sistem politik, raja menduduki tangga teratas dan diikuti oleh para pembesar serta kerabat-kerabat di raja serta rakyat. Di kalangan rakyat pula terdapat golongan hamba dan juga rakyat biasa yang bebas. Semua ini mendominasi sistem pemerintahan masyarakat Melayu tradisional. Di kalangan pemerintah British dan Belanda pula, sistem pemerintahan agak berlainan dengan Residen, Residen Jeneral, Gabenor Jeneral dan sebagainya mempunyai pangkat sosial dan berkuasa di kawasan yang ditadbirkan oleh mereka.
Berdasarkan susun lapis masyarakat Melayu dan pihak Barat ini, hanya golongan yang sama taraf atau hampir sama taraf dan mempunyai kepentingan akan mengutus warkah dikalangan golongan itu sahaja. Misalnya, raja, sultan atau pembesar yang mempunyai kepentingan akan membuat hubungan dengan pihak Barat seperti Gabenor atau Residen manakala golongan bawahan seperti rakyat tidak akan megutus warkah kepada pihak Barat dan sebaliknya.
Berdasarkan pangkat sosial dan juga jawatan yang dipegang oleh seseorang itu, kata sapaan memainkan peranan penting dalam menentukan kesopanan berbahasa dikalangan masyarakat zaman itu.[20] Faktor kemesraan dan hubungan yang rapat memainkan peranan penting dalam pemilihan kata sapaan yang digunakan untuk seseorang penerima warkah. Misalnya dalam warkah Melayu kata sapaan yang banyak digunakan ialah kata sahabat tetapi kata ganti nama lain seperti kita juga tidak kurang juga digunakan. Kata ganti nama ini digunakan oleh golongan pengirim warkah sebagai ganti nama diri pertama walaupun penggunaannya merupakan bentuk kata jamak. Kata ini digunakan oleh golongan raja/sultan, pembesar, pegawai-pegawai Inggeris, saudagar dan juga orang biasa.
Penggunaan kata ganti nama ini mempunyai konteks sosiolinguistik kerana ada hubungan yang karab antara pengirim dan juga penerima warkah terutama apabila pihak raja mengutus warkah kepada pihak Inggeris. Golongan raja menggunakan kata ini untuk menunjukkan hubungan yang intim walaupun dari amalannya penggunaannya tidak berlaku di kalangan masyarakat Melayu.[21] Namun, yang penting hubungan yang terjalin akan membawa keuntungan kepada raja itu sendiri. Selain itu, kata ganti nama ini juga bersifat jamak, iaitu kita mendukung maksud jamak kerana raja atau pembesar sebenarnya mewakili orang-orang bawahan yang diperintah dan bukan untuk diri mereka sahaja. Antara contoh penggunaan kata ganti nama ini terdapat dalam contoh-contoh di bawah ini.

Adalah kita menyatakan hal kepada sahabat kita kerana kita menyuruh Lebai Abdul Khatib dahulu pada sahabat kita ada timah sedikit.[22]
Surat kasih sayang daripada kita saudagar Rahsia Raja di negeri Kelantan sampai kepada sahabat beta ......
[23]
Waba’dahu kemudian dari itu maka adalah kita ini orang tuha yang daif tiada berdaya dan upaya...
[24]
Waba’dahu daripada itu maka adalah kita melayangkan sezarah warkah al-ikhlas ini kepada sahabat kita...
[25]

Kewujudan Kuasa : Kuasa sama ada disedari atau tidak dimiliki oleh seseorang raja ataupun pembesar. Kuasa ini merupakan keistimewaan bagi seseorang raja atau pembesar bagi menjalan segala urusan yang berkaitan dengan pentadbiran mereka. Raja yang mengepelai sesebuah kerajaan mempunyai kuasa yang mutlak dan tidak boleh dipertikaikan oleh orang bawahan dan kuasa yanng ada pada raja atau sultan akan diagihkan kepada golongan pembesar untuk menjalankannya. Merekalah yang menggunakan kuasa untuk mengadakan hubungan ataupun perdagangan dengan pihak barat.
Perkara yang sama juga berlaku di kalangan pegawai-pegawai Barat. Residen atau Gabenor di negeri-negeri Melayu menjalankan kuasa yang telah diberikan oleh Raja England atau Netherland. Mereka sebenarnya hanya menjalankan kuasa yang telah disalurkan kepada mereka untuk kepentingan negara mereka. Kedua-dua kuasa sama ada pihak Barat atau raja-raja Melayu mempunyai fungsi yang hampir sama, iaitu hanya menjalankan tugas yang telah diberikan kepada mereka. Oleh sebab itu dalam konteks budaya berbahasa walaupun mereka mempunyai kuasa mutlak tetapi segala keputusan yang mereka ambil perlu mematuhi segala arahan ataupun kepentingan orang yang lebih berkuasa daripada mereka. Mereka seolah-olah menjadi tangan-tangan yang menjalankan tugas yang dikawal olah kuasa lain di sebalik mereka. Kuasa ini dinamakan sebagai kuasa yang tersembunyi. Oleh sebab itu segala keputusan pihak Barat mestilah menguntungkan kerajaan mereka manakala pihak sultan pula akan menguntungkan rakyat bawahan mereka. Dengan ini kuasa yang tersembunyi merupakan salah satu daripada faktor penanda kesopanan dalam warkah Melayu yang seolah-olah mengawal segala kesopanan yang dilakukan oleh setiap pemeran itu.

Menjaga Air Muka : Faktor ini penting bagi masyarakat Melayu bukan sahaja dalam sesuatu komunikasi tetapi juga menjangkau skop yang lebih luas daripada itu. Ini keranan seseorang yang tidak pandai manjaga air mukanya akan menyebabkan kaum keluarga mereka juga akan mendapat malu. Oleh itu faktor ini penting kerana ia melibatkan maruah ahli keluarga dan ia tergambar dalam perlakuan berbahasa seseorang itu.
Untuk menjaga air muka, seseorang penutur itu perlu berhati-hati sewaktu berkomunikasi agar pihak yang diajak bercakap tidak tersinggung dengan bahasa yang digunakan oleh pihak pertama. Ini kerana penggunaan bahasa yang kasar, kesat, mencarut, caci maki serta keji mengkeji akan menimbulkan kemarahan serta tidak menjaga air muka orang yang diajak bercakap itu. Dalam konteks warkah-warkah Melayu faktor ini amat dititikberatkan kerana ia melibatkan dua pihak atau antara dua buah kerajaan. Sebagai raja atau pegawai Inggeris, mereka perlu menjaga air muka pihak yang satu lagi agar hubungan mereka tetap utuh dan hubungan yang terjalin tetap kekal. Gambaran kesopanan bahasa ini dapat dilihat dalam kepala surat, kata-kata pujian, prapenutup dan penutup warkah.
Dalam kepala surat kesopanan tergambar dengan penggunaan pelbagai bahasa kiasan dengan unsur alam semula kadi, nama-nama tuhan dan lain-lain lagi. Kesopanan juga tergambar dalam bahagian puji-pujian dengan penggunaan pelbagai bentuk strategi komunikasi. Unsur menjaga air muka juga tergambar dalam bahasa sopan yang digunakan oleh pengirim dalam bahagian prapenutup. Dalam bahagian ini pengirim akan merendahkan diri dengan pemberian hadiah yang ditujukan kepada penerima. Pengirim akan meminta pihak penerima supaya tidak memalukan atau menjatuhkan air mukanya dengan hadiah yang diberikan. Unsur menjaga air muka ini berdifat terus terang daripada pihak pengirim.[26] Antara unsur penggunannya dalam warkah dapat dilihat seperti di bawah ini.
Maka tiadalah suatu hadiah beta kepada sahabat beta yang patut jadi permainan mata, hanyalah badik berterapang sebilah dan tombak sepasang sampak emas pakaian orang Melayu, tiada dengan sepertinya seumpama sekuntum bunga adanya akan jadi barang gunanya, maka jangan kiranya diaibkan.[27]

Kesimpulan
Dalam warkah Melayu, dua bentuk strategi komunikasi digunakan, iaitu kaedah langsung dan juga kaedah tak langsung. Tujuan kaedah ini digunakan adalah untuk mengiklankan diri pengirim serta memuji-muji pihak penerima warkah. Bagaimanapun, terdapat perkaitan antara strategi komunikasi dan kesopanan yang ditentukan oleh faktor perkaitan peranan perbezaan sosial, kewujudan kuasa, dan menjaga air muka. Faktor-faktor ini saling berkaitan dan menentukan kesopanan bahasa yang digunakan oleh pemeran yang terlibat dalam surat menyurat.
Berdasarkan contoh-contoh daripada warkah-warkah Melayu lama, jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu lama kaya dengan pelbagai budaya berbahasa, terutama kesopanan berbahasa di kalangan masyarakat. Budaya berbahasa yang diamalkan ini perlu dilestarikan dan diamalkan kerana banyak nilai positif yang akan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara.

Rujukan
@Ab. Razak Ab. Karim, 2002. Aspek Penggunaan Bahasa Dalam Warkah-warkah Melayu Lama: Satu Analisis. Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya: Kuala Lumpur.
@................................, 2006. Warkah Melayu Lama. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
@Asmah Hj. Omar, 1992. The Linguistic Scenery of Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
@..............................., 1984. Bahasa Iklan Pernigaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
@............................, 1996. Wacana Perbincangan, Perbahasan dan Perundingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
@Bell, R.T., 1974. Sociolinguistic Goal, Approaches and Problem. London: B.T. Batsford Ltd.
@Gallop, Annabel Teh, 1994. Warisan Warkah Melayu. London: The British Library.
@............................. dan Benard Arps, 1991. Golden Letters : Writing Tradition of Indonesia. London: The British Library

[1] Makalah ini hanya akan menggunakan warkah-warkah sosial sahaja kerana warkah-warkah lain seperti warkah perjanjian dan surat izin dagang atau surat cit tidak akan disentuh. Ini disebabkan kedua-dua jenis warkah ini terlalu formal situasinya dan gambaran kesopanan dan strategi komunikasinya telah ditetapkan oleh kedua-dua pihak yang terlibat.
[2] Kata puji-pujian ialah bahagian pembuka warkah atau bahagian awal sesepucuk warkah. Penggunaan kata puji-pujian banyak bergantung pada latar belakang penerima, status penerima dalam masyarakat, dan peraturan sosial dalam masyarakat.
Kandungan warkah ialah bahagian terpenting dalam warkah, iaitu bahagian yang mengandungi segala permintaan atau mesej utama yang hendak disampaikan oleh pengirim warkah kepada penerima.
Prapenutup ialah bahagian selepas kandungan warkah dan dalam bahagian ini terdapat kata-kata beradat yang digunakan pengirim sebagai tanda hubungan mesra antara pengirim dan penerima warkah.
[3] Surat Sultan Mahmud Syah dari Johor dan Pahang kepada Senyur Gurnadur F. Light pada 10 November 1987.
[4] Surat Sultan Mansur Syah dari Terengganu kepada Gurnadur F. Light pada 10 Februari 1792.
[5] Surat Engku Sayid di Lingga kepada Raffles di Melaka pada 6 Januari 1811
[6] Menurut Asmah (1984:1-43), teknik mengiklankan diri sama seperti iklan barangan, iaitu tumpuan pada barangan sedangkan pengiklanan diri bertujuan untuk memperkenalkan diri pengirim kepada penerima warkah.
[7] Lihat warkah yang dikirim oleh Seri Maharaja Saudagar Kedah kepada J.J.Erskine pada 21 Mac 1807.
[8] Lihat Ab. Razak Ab. Karim, 2002 hlm. 81-93.
[9] Kata-kata ini digunakan oleh Raffles dalam suratnya kepada Penambahan Sumenep pada 17 November 1815.
[10] Lihat warkah yang dikirim oleh Sultan Pontianak Syarif Kasim kepada Raffles pada 14 Februari 1811.
[11] Kata puji-pujian ini digunakan dalam warkah Yang Dipertuan kepada Raffles pada 2 April 1811.
[12] Lihat warkah Yang Dipertuan Muda Riau kepada Raffles pada 6 April 1811.
[13] Lihat warkah yang dikirim oleh Yang Dipertuan Muda Riau kepada Raffles pada 6 April 1811.
[14] Lihat warkah Syahbandar Lingga kepada Raffles pada 30 April 1811.
[15] Lihat warkah Yang Dipertuan Kelantan kepada W.Farquhar pada 25 April 1822.
[16] Asmah Hj. Omar (1996:90) menyatakan bahawa dalam bahasa melayu terdapat dua jenis kesopanan, iaitu kesopanan berkendala dan kesopanan asas. Kesopanan asas ialah kesopanan yang sedia ada dan menjadi pedoman bagi anggota masyarakat untuk berhubung antara satu sama lain. Kesopanan berkendala pula ialah kesopanan yang menggambarkan usaha yang dilakukan oleh anggota masyarakat dalam hubungan antara satu sama lain dengan memberikan perhatian pada kendala-kendala tertentu.
[17] Dalam sesepucuk warkah terdapat pelbagai kandungan yang diketengahkan oleh pengirim dan antara satu isi dengan isi yang lain terdapat pembahagian yang nyata berdasarkan penggunaan kata maka atau waba’dahu. Tidak ada sepucuk warkah pun yang hanya menyentuh satu isi sahaja secara khusus.
[18] Contoh ini dikutip daripada warkah Siti Sabariah Cahaya Alam dari Kedah kepada Francis Light Dewa Raja (tanpa tarikh). Menurut sesetengah pendapat, Siti Sabariah mempunyai hubungan yang begitu intim dengan Light yang berada di Pulau Pinang pada waktu itu. Ada pula pendapat yang menyatakan bahawa Siti Sabariah ialah perempuan simpanan Light tetapi setakat mana kebenaran fakta ini masih belum dapat dibuktikan. Bagaimanapun, berdasarkan kajian terhadap warkah-warkah Melayu yang bilangan ratusan pucuk, belum pernah ditemui warkah yang agak erotis yang dihantar oleh seorangn perempuan kepada pegawai tinggi British pada waktu itu. Wallahualam.
[19] Lihat warkah yang dikirim oleh Sultan Aceh kepada Raffles pada 27 April 1811.
[20] Untuk maklumat lebih lanjut tentang penggunaan kata ganti nama dan gelaran dalam warkah – warkah Melayu lama lihat Ab. Razak Ab. Karim, 2002, Aspek Penggunaan bahasa Dalam Warkah-warkah Melayu lama: Satu Kajian hlm. 94 – 112.
[21] Sekiranya pihak raja merasakan hubungannya dengan pihak Inggeris kurang intim, kata ganti nama aku sering digunakan oleh sultan dan kata ganti nama kamu untuk pihak kedua. Ini dapat dilihat dalam Surat Izin Berdagang di Aceh pada tahun 1602 yang antara lain berbunyi:
Aku raja yang kuasa di bawah angin ini ... maka sekalian kamu yang memilik kepada surat ini hendaklah dengan tilik kebajikan dan tilik yang sejahtera.
[22] Surat Isteri Tunku Raja Muda Selangor kepada Gurdanur F. Light pada Jumaat 28 Safar.
[23] Surat Saudagar Rahsia Raja di Kelantan kepada Gubernor pada 23 Jamadilawal 1209.
[24] Surat Tunku Tua di Siak kepada Raffles pada 20 Januari 1811.
[25] Surat W. Farquhar kepada Tengku Puteri Riau pada 6 Jun 1819.
[26] Sifat berterus terang yang digunakan oleh pengirim menunjukkan bahawa unsur menjaga air muka begitu penting di kalangan masyarakat Melayu tradisional.
[27] Lihat Sultan Kedah kepada Lord Minto pada 23 Disember 1810.